“Legenda Nasyid Kembali!” – Kumpulan Ikonik Bakal Gegar Idea Live Arena Disember Ini

Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif, kumpulan nasyid tersohor UNIC bakal menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat para peminat melalui konsert mega berjudul “This Is UNIC: Live In Concert”, yang akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni UNIC selama lebih 20 tahun, dan turut menandakan konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi. Menurut Bazli Hazwan, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan buat peminat setia yang terus menyokong perjuangan UNIC sejak awal. “Selepas dua dekad bersama peminat, inilah masanya untuk meraikan perjalanan panjang kami dengan mereka. Kami ingin membuktikan bahawa muzik nasyid masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,” katanya.

Konsert ini dijanjikan sebagai satu pengembaraan muzik dan spiritual, membawa penonton menyusuri evolusi UNIC dari era awal hingga kini. Setiap segmen persembahan akan disusun mengikut fasa perjalanan mereka — daripada melodi klasik yang membentuk identiti UNIC hinggalah susunan moden yang segar dan dinamik. “Kami mahu peminat rasai setiap detik evolusi UNIC setiap lagu ada kenangan dan mesejnya. Persembahan kali ini akan menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan,” ujar Dr. Fitri Haris.

Dengan gabungan susunan muzik moden dan tradisional serta iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, UNIC berjanji untuk memberikan satu pengalaman persembahan yang menggugah jiwa. “Kami mahu penonton benar-benar merasai konsert ini dari visual, bunyi, hingga ke mesejnya,” kata Fakhrul Radhi sambil menambah bahawa persiapan vokal dan mental dijalankan secara rapi.

Selain menampilkan lagu-lagu ikonik seperti “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah” dengan susunan baharu, konsert ini turut menjanjikan kejutan istimewa daripada beberapa artis jemputan yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah UNIC. “Insya-Allah, akan ada kejutan malam itu. Kami mahu cipta suasana kasih dan silaturrahim, bukan hanya antara kami dan peminat, tetapi juga dengan rakan-rakan artis yang pernah bersama dalam perjalanan UNIC,” kongsi Bazli.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer, konsert ini lahir daripada rasa penghargaan terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik. “This Is UNIC bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis serta peminat mereka,” jelasnya.

Selepas lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu bukan hanya untuk kumpulan ini, tetapi juga untuk menghidupkan semula keindahan muzik nasyid di arus perdana. “Kami harap konsert ini meniup semangat baharu dan membuktikan bahawa nasyid masih ada tempat di hati rakyat Malaysia,” kata UNIC sebulat suara.

Tiket rasmi “This Is UNIC: Live In Concert” mula dijual pada 17 Oktober 2025 melalui laman web www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC. Kategori dan harga tiket adalah seperti berikut: Ainul Mardhiah – RM249, Hanya Tuhan Yang Tahu – RM199, Zinnirah (2nd Level) – RM159, Mahligai Kasih – RM119, Balqis (2nd Level) – RM99, dan Demi Cinta Suci (2nd Level) – RM89.

Konsert ini dianjurkan oleh Triple Am Global, dengan Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, Hot FM, Kool 101 MY, dan Molek FM sebagai rakan radio rasmi. Turut bersama sebagai rakan strategik ialah Bazli Channel, Lauraent Entertainment, Peduli Insan, dan JGX Excellent, manakala busana eksklusif UNIC direka khas oleh Eja Shahril.