UPSI Kukuhkan Reputasi Global Dengan Penganjuran Global Educator Award

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh langkah pengantarabangsaan institusi melalui penganjuran Global Educator Award (GEA) dan Great Teacher Summit, yang menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, adalah inisiatif penting untuk mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di Malaysia. Program julung kali ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada kepakaran universiti, tetapi juga menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.

Zambry menyatakan bahawa inisiatif ini mendapat sambutan luar biasa dengan penglibatan pendidik dari lebih 50 negara, menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran UPSI. Kementerian Pendidikan Tinggi juga akan meneliti bantuan yang boleh disalurkan bagi memperkasakan program ini pada tahun hadapan, termasuk menambah kategori baharu bagi setiap peringkat pendidikan, daripada kanak-kanak prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Pada majlis tersebut, Zambry turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Global Educator Award 2025. Madam Cheah Gaik Imm dari SJKC Chung Hwa Langkawi, Malaysia memenangi Inspiring Educational Leader Award, manakala Prof. Julio Manuel Pereyra menerima Community Outreach Educator Award. African Leadership Academy dari Afrika Selatan dianugerahkan Transforming Educational Institution Award, Prof. Dr Pasi Sahlberg dari University of Melbourne memenangi Esteemed Teacher Educator Award, dan Mr. Deep Narayan Nayak dari India menerima Avant-Garde Teacher Award.

Dr Zambry bergambar bersama tetamu dan pelajar UPSI yang hadir sempena Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menjelaskan bahawa penganjuran GEA adalah hasil visi jauh Menteri Pendidikan Tinggi yang mempercayakan UPSI untuk melaksanakan inisiatif berskala global ini. Program yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu menghimpunkan peserta, diplomat, dan finalis dari lebih 50 negara termasuk Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Jepun, Iran, Pakistan, Singapura, Indonesia, Filipina, Botswana, dan Malaysia.

Sebanyak 244 pencalonan daripada 57 negara diterima bagi edisi pertama ini, dengan 16 finalis terbaik daripada 10 negara dipilih untuk lima kategori utama. Setiap trofi yang disampaikan membawa identiti dan simbolik Malaysia melalui reka bentuk bertema seperti Pucuk Rebung, Ombak Laut, Benang Emas, Bunga Teratai, dan Tampuk Manggis, yang melambangkan pertumbuhan, tenaga, dan perpaduan dalam dunia pendidikan. Kejayaan GEA bukan sahaja mengangkat martabat UPSI, tetapi turut mengharumkan nama Malaysia di persada dunia pendidikan dengan penglibatan lebih 10,000 peserta.