Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor francais sebagai salah satu agenda penting pembangunan ekonomi negara. Dalam lawatan kerja di Sabah, beliau menyeru lebih ramai usahawan untuk menceburi bidang francaisor, francaisi, licensor dan licensi yang mampu membuka laluan ke arah perniagaan berdaya tahan.
Fook Yuen Cafe & Bakery menjadi salah satu contoh kejayaan francais tempatan apabila menerima sijil pendaftaran francais sempena Karnival UDA Bersama BizFrancais PERNAS. Syarikat itu kini menguruskan tujuh cawangan di Sabah dan bercadang untuk menembusi pasaran Semenanjung serta antarabangsa.

Sementara itu, Packaging Mart yang dikendalikan usahawan wanita Deana Mojigoh menerima pembiayaan RM250,000 daripada PERNAS melalui Program SWEET, sekali gus membuktikan sokongan kerajaan terhadap penglibatan wanita dalam sektor francais.
Ewon menegaskan bahawa usaha ini hanya permulaan dan KUSKOP bersama PERNAS akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi merancakkan sektor francais. Katanya, kejayaan syarikat seperti Fook Yuen dan Packaging Mart wajar menjadi inspirasi kepada usahawan lain di Sabah dan Malaysia amnya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini.