Poster Susu Kambing Cetus Ilham: Kisah Menyentuh Hati Karya Janna Nick

Siapa sangka sehelai poster susu kambing di restoran mamak mampu mencetuskan idea sebuah naskhah yang menyentuh hati? Itulah asal-usul Susu Lima Kupang, telefilem arahan Janna Nick yang bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 19 Julai 2025, jam 10 malam.

Menerusi inisiatif istimewa Dari Layar Ke Lensa terbitan TV3, empat nama besar tanah air—Siti Saleha, Fattah Amin, Zahiril Adzim dan Janna Nick—diberi peluang duduk di kerusi pengarah untuk menzahirkan karya yang lahir dari jiwa mereka sendiri. Dalam telefilem ini, Janna Nick mengangkat kisah kekeluargaan, kecekalan dan kasih seorang anak dalam situasi hidup serba kekurangan.

“Susu Lima Kupang” mengisahkan Zakaria, budak lelaki berumur sembilan tahun (lakonan Aiman Badrul) yang membesar bersama ibu autistik (Trisha Ooi) dan neneknya (Farah Ahmad). Zakaria kerap menjauhkan diri dari sekolah kerana sering dibuli, hanya kerana dibesarkan tanpa ayah. Namun dunianya berubah apabila seekor kambing bunting yang dinamakan Maryam mula mengikutinya ke mana sahaja.

Konflik memuncak apabila Maryam merosakkan radio kesayangan ibunya hingga mencetuskan gangguan emosi. Zakaria, dalam usahanya memulihkan semangat si ibu, nekad menjual susu kambing peliharaannya demi membeli radio baharu.

“Proses tercetusnya idea ini sangat tidak dirancang. Masa tengah berbincang dengan kru, saya ternampak poster susu kambing. Terus saya kata, ‘Jom buat cerita pasal kambing!’ Dari situ semuanya berkembang,” kongsi Janna, yang pertama kali mengarah untuk produksi luar.

Tambahnya, cabaran terbesar ialah mengendalikan haiwan dalam tempoh penggambaran yang terhad, selain belajar mengurus pasukan dengan bajet minimum. “Ia benar-benar menguji kemahiran teknikal dan kepimpinan saya. Tapi saya mahu beri yang terbaik untuk penonton,” ujar Janna.

Lebih penting, Susu Lima Kupang turut membawa mesej mendalam. “Saya harap penonton sedar bahawa dalam Islam, tiada istilah anak haram. Yang haram hanyalah perbuatan, bukan manusia. Saya mahu masyarakat lebih menghargai kebahagiaan walaupun hidup dalam kekurangan,” katanya lagi.

Dengan lakonan kuat dari Trisha Ooi, Aiman Badrul dan Farah Ahmad, telefilem ini dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Saksikan apakah Zakaria berjaya membawa kembali senyuman buat ibunya?

Jangan lupa, Susu Lima Kupang akan disiarkan pada Sabtu, 19 Julai 2025, jam 10 malam di TV3. Nantikan juga telefilem penutup siri Dari Layar Ke Lensa, Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim pada 26 Julai nanti.

Untuk perkembangan terkini, ikuti TV3 dan Drama Sangat di media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat.

tehtariktimes.com