CelcomDigi Berhad berganding bahu bersama Media Prima Berhad dan OMD Malaysia memperkenalkan segmen khas bertajuk Kisah Benar Scam Siber dalam program jenayah terkenal TV3, 999. Inisiatif ini bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman jenayah siber yang semakin meruncing di Malaysia.
Dalam dunia digital hari ini, rakyat Malaysia berdepan risiko tinggi menjadi mangsa kejuruteraan sosial, laman palsu dan kecurian data. Melalui penceritaan visual berasaskan kes sebenar, segmen ini menggunakan kekuatan program 999 untuk menyampaikan mesej pencegahan secara lebih dekat dan mudah difahami. Ia juga menggalakkan literasi digital dan tindakan pantas dalam melaporkan jenayah.
Kisah Benar: Scam Siber akan bersiaran selama 13 episod bermula 1 Julai hingga 23 September 2025, setiap hari Selasa jam 9.00 malam di TV3. Setiap episod memaparkan lakonan semula kes sebenar yang pernah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, termasuk tip pencegahan ringkas dan praktikal. Antara topik yang diketengahkan termasuk Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, penipuan pelaburan dan tawaran kerja.
Bagi mereka yang terlepas siaran di TV, kandungan utama dan kapsul video ringkas turut tersedia di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @999tv3, selain boleh ditonton sepenuhnya melalui platform Tonton. Ini bagi memastikan mesej kesedaran sampai kepada khalayak lebih luas sepanjang tempoh kempen.
Menurut Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama & Pemasaran CelcomDigi, kesedaran adalah pertahanan pertama menentang jenayah siber. Melalui segmen ini, CelcomDigi bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah memperkasakan rakyat untuk bertindak bijak dan selamat dalam dunia digital. Beliau menekankan kepentingan pengetahuan dalam mengenal pasti, menolak dan melaporkan penipuan.
Mayank Bhatnagar, Pengarah Urusan OMD Malaysia pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai langkah penting dalam mendidik masyarakat dan membina kepercayaan terhadap jenama melalui kandungan bermakna yang relevan secara budaya.
Jangan lupa saksikan Kisah Benar Scam Siber setiap Selasa, 9.00 malam hanya di TV3 peluang untuk belajar daripada kisah benar dan melindungi diri anda daripada ancaman scam siber yang kian menjadi-jadi. – Tehtariktimes