September Ini, Bilal Ambil Pentas!

Festival muzik terbaru, Panggung Purnama, anjuran UdaraLaskhar, bakal berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Bagi fasa pertama yang diberi nama ‘Main Kasar’, penganjur memilih penyanyi berbakat dari Indonesia, Bilal Indrajaya, sebagai ‘peluru perdana’ festival ini. Bilal, yang terkenal dengan lagu Biar sejak 2018 dan pernah tampil di festival seperti BNI Java Jazz Festival 2024, dilihat sebagai pemilihan tepat untuk memulakan Panggung Purnama yang mengetengahkan bintang muzik Nusantara.

Menurut wakil penganjur, John Labu, penampilan Bilal adalah respon kepada permintaan peminat Malaysia yang sudah lama ingin menyaksikan beliau secara langsung. Bilal turut dikenali di negara ini melalui kolaborasi bersama Noh Salleh (Niscaya) serta Romantic Echoes (Ruang Kecil, Yang Tercinta), menjadikan kehadirannya sesuatu yang dinantikan ramai. John menggambarkan Bilal sebagai ‘bulan terang’ yang membawa sinar melalui karyanya dari atas pentas, dan percaya penyanyi ini akan meninggalkan impak tersendiri di festival ini.

Penganjur turut memaklumkan bahawa senarai artis untuk fasa kedua dan fasa finale akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi media sosial rasmi Panggung Purnama. Bilal sendiri, kini berusia 29 tahun, menyifatkan acara ini sebagai festival peribadi yang meraikan hubungannya bersama peminat yang sentiasa mendukung kerjaya seninya.

Tiket kini boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com dalam lima kategori harga Bintang (RM189), Langit (RM229), Awan (RM249), Bumi (RM259) dan Purnama (RM479). Jangan lepaskan peluang menyaksikan kemunculan sulung Bilal Indrajaya di pentas Malaysia yang dijangka penuh emosi, karisma dan magis tersendiri. – Tehtariktimes