Tak Sempat Remaja, Dah Kena Jadi Ketua Keluarga

Bangsar, 16 Jun 2025 – Bila ujian menimpa tanpa henti, mampukah kasih keluarga kekal utuh? Pasca Kau Pergi, sebuah drama sarat emosi arahan Rashidi Ishak, mengetengahkan realiti kehidupan yang menyayat hati. Mengisahkan Faris (Syed Irfan), remaja yang terpaksa memikul tanggungjawab besar selepas bapanya lumpuh akibat tragedi, demi menjaga adik-adik dan keluarganya yang makin retak.

Diterbitkan KL Motion Pictures, siri 13 episod ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Liyana Jasmay, Johan As’ari, Qaidah Marha, Fiyya Amsyar, Zamarul Hisham dan Nadiya Nisaa. Bermula 20 Jun 2025, drama ini akan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3 dan turut boleh distrim di iQIYI secara percuma mulai jam 8.00 malam.

Watak Faris yang dibawakan oleh Syed Irfan memberi impak besar dengan kisah remaja yang dewasa sebelum waktunya. “Watak ini menyentuh jiwa, kerana ada anak-anak sebenar yang sedang hadapi situasi sama,” katanya.

Drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan realiti tentang pengorbanan, tekanan hidup, keretakan institusi keluarga dan kasih seorang anak yang menjadi nadi harapan. Penonton iQIYI VIP boleh strim episod baharu secara ekspres jam 8.00 malam, manakala versi percuma tersedia selepas 48 jam.

Sejak dilancarkan di Malaysia pada 2020, iQIYI mencatat peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda dan menjadi platform penstriman Asia nombor satu di negara ini. Ikuti maklumat lanjut dan kemas kini drama ini di @TV3Malaysia dan @dramasangat di semua platform media sosial. – Tehtariktimes