Empat bintang tanah air Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal bersatu dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025, konsert bersejarah yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Anuar Zain Network dan Altus ProHouse, konsert ini menggabungkan empat artis daripada dua generasi yang juga mempunyai ikatan kekeluargaan. Ini adalah kolaborasi pertama antara adik-beradik Ziana dan Anuar bersama anak saudara mereka, Ernie dan suaminya Syamel menjadikan ia konsert kekeluargaan pertama seumpamanya di Malaysia.
Menurut Anuar, konsert ini sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu namun baru dapat direalisasikan tahun ini. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi meraikan kasih sayang, bakat dan sokongan peminat dari pelbagai lapisan usia. Ziana menyifatkannya sebagai sebuah temasya cinta antara generasi bersama para peminat, manakala Ernie dan Syamel menganggapnya sebagai mimpi jadi kenyataan dapat berkongsi pentas bersama idola mereka.
Konsert ini diarahkan oleh Jennifer Thompson dan diketuai muzik oleh Sze Wan bersama pemuzik handalan tanah air. Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu hit sepanjang empat dekad dan kolaborasi istimewa yang hanya akan dinikmati secara langsung di pentas ini.
Tiket boleh didapati mulai 25 April 2025 jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my/empatkl dengan harga dari RM288 hingga RM2,088. Tiket khas untuk OKU boleh dibeli dengan menghubungi +6011-1190 0518.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan konsert yang lahir dari permintaan peminat dan ikatan keluarga ini. Temui Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 satu malam, empat suara, satu sejarah. – Tehtariktimes