TV3 bakal menayangkan drama bersiri penuh kontroversi, Nikmat Hanya Sesaat, yang akan menemui penonton mulai 8 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam, di Slot Samarinda. Drama ini menampilkan gandingan pertama antara Mawar Rashid dan Fadlan Hazim dalam lakonan mantap yang penuh emosi dan cabaran.
Nikmat Hanya Sesaat mengisahkan perjalanan hidup Sara (lakonan Mawar Rashid), seorang wanita yang terpaksa menjadi pelacur kelas atasan demi menyara keluarganya setelah kematian bapanya. Walaupun hidup dalam kemewahan yang diberikan oleh Johny (Mutalib Mubin), Sara tetap merasa kosong dan terperangkap dalam dunia yang penuh dengan dosa. Takdir menemukan semula Sara dengan Zafrul (Fadlan Hazim), cinta pertamanya yang kini sudah berkahwin dengan Julia (Sherry Ibrahim). Zafrul tidak mengetahui kisah sebenar hidup Sara, dan Sara pula terperangkap dalam dilema untuk menyemai semula cinta lamanya atau mencari ketenangan dengan melepaskan segalanya.
Drama ini menyentuh isu-isu sosial seperti diskriminasi, tekanan ekonomi, dan keinsafan, dengan naratif halus yang menyentuh hati. Diterbitkan oleh Art Ornament dan arahan oleh Izuan Mokhtar dengan skrip tulisan Amin Shakib, Nikmat Hanya Sesaat bukan sekadar sebuah kisah cinta, tetapi juga teguran sosial yang mengingatkan kita tentang ujian dalam kehidupan dan keputusan yang membawa kesan besar.
Dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Arash Mohamad, Lisdawati, Sherry Ibrahim, Shasha Abedul, dan ramai lagi, drama ini menjanjikan babak-babak yang penuh dengan emosi dan klimaks yang tidak akan melepaskan perhatian penonton. Gandingan Mawar Rashid dan Fadlan Hazim akan memperlihatkan chemistry yang kuat dalam mempamerkan cinta yang penuh rahsia dan dilema moral.
Nikmat Hanya Sesaat juga boleh ditonton lebih awal melalui Tonton, dengan episod baharu yang disiarkan 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my. Aplikasi Tonton boleh dimuat turun melalui Google Play atau App Store. Untuk info terkini, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram Drama Sangat @dramasangat.
Saksikan Nikmat Hanya Sesaat mulai 8 Mei 2025, hanya di TV3.