Sekolah, dengan segala ragam dan kisahnya yang penuh warna-warni, kembali memeriahkan dunia hiburan dengan drama terbaru di TV3, Cikgu Diva. Mulai hari ini, 31 Januari 2025, Cikgu Diva akan disiarkan di slot Lestary, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam. Drama ini menjanjikan kelainan dengan elemen lucu, romantik, dan penuh nilai kekeluargaan yang pastinya menghiburkan seisi keluarga.
Diarahkan oleh Kyoll Hamzah, Cikgu Diva mengangkat kisah Cikgu Ros (dilakonkan oleh Eyka Farhana), seorang guru Bahasa Melayu yang bukan hanya cantik tetapi juga memiliki pesona yang memikat. Kejutan datang apabila Cikgu Ros dilantik sebagai guru penasihat rumah sukan biru, yang sering tercorot dalam pertandingan sukan sekolah. Ini menjadi cabaran besar buat Cikgu Ros yang tidak berpengalaman dalam bidang sukan dan pemakanan sihat. Dalam usaha untuk meningkatkan prestasi rumah sukan biru, Cikgu Ros mendapatkan bantuan daripada kakaknya dan tiga pelajar rumah sukan biru, iaitu Amir, Haikal, dan Hani. Namun, Haikal menolak untuk terlibat, disebabkan masalah keluarga yang sedang dihadapinya.
Selain cabaran membimbing rumah sukan, Cikgu Ros juga perlu menghadapai ketegangan hubungan dengan Cikgu Adam (Fitri Farok), guru penasihat rumah sukan kuning yang sering muncul juara. Drama semakin menarik apabila tercetus perasaan cinta bersegi antara Cikgu Ros, Cikgu Adam, Cikgu Sofea (Syad Mutalib), dan Cikgu Kana (Kana Fly), yang membawa kepada konflik emosi dan kecemburuan di kalangan mereka. Cikgu Sofea, yang cemburu dengan hubungan rapat antara Cikgu Ros dan Cikgu Adam, merancang untuk menjatuhkan Cikgu Ros.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/02/A7_2081-683x1024.jpg)
Apakah Cikgu Ros mampu mengesan muslihat Cikgu Sofea? Mampukah dia menggerakkan semangat rumah sukan biru untuk keluar dari zon tercorot dan meraih kemenangan? Saksikan perjalanan menarik ini dalam Cikgu Diva.
Salah satu tarikan utama Cikgu Diva adalah penampilan sulung Kana Fly dalam dunia lakonan drama. Sebagai seorang pempengaruh media sosial yang terkenal dengan jenaka santai dan gaya humor yang segar, Kana Fly meluahkan rasa teruja dan bersyukur dengan peluang yang diberikan. “Ini adalah pengalaman pertama saya dalam lakonan dan ia benar-benar memberi pengalaman baru yang sangat berharga. Bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat dan rendah diri ini memberi saya banyak inspirasi. Saya berharap penonton dapat jatuh cinta dengan watak saya dan semua karakter dalam drama ini,” kata Kana Fly.
Drama ini akan bersiaran pada setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam, di slot Lestary TV3. Anda juga boleh menonton episod pertama lebih awal, 24 jam sebelum siaran di TV, dengan melayari Tonton di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.
Untuk info terkini mengenai drama dan perkembangan terbaru, ikuti TV3 di media sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.