UNIFI TV dengan bangganya mempersembahkan tayangan perdana produksi original terbaharunya, DIN TIGER, sebuah drama bersiri arahan Dato’ Afdlin Shauki yang sangat dinantikan. Drama 8 episod terbitan KL Post Sdn Bhd ini menampilkan jalan cerita mendalam hasil nukilan penulis skrip Norsyiella Annuar, Haris M. Nor, Amin Shakib, Lepat, dan Rahman Nayan. DIN TIGER mengangkat isu jenayah ‘scam’ yang semakin berleluasa di Malaysia, memaparkan bagaimana kegiatan ini dirancang dengan licik untuk memperdayakan mangsa tanpa mengira latar belakang.
UNIFI TV ORIGINALS: DIN TIGER akan mula bersiaran pada 6 Januari 2025, setiap Isnin, jam 11 malam di DEGUP HD, Saluran 120, eksklusif di Unifi TV. Drama ini mengisahkan Din Tiger (Dato’ Aaron Aziz), seorang pakar ‘scammer’ yang bertekad meninggalkan dunia jenayah demi membina kehidupan baru untuk keluarganya. Namun, langkahnya untuk membuka perniagaan gajet membawa Din Tiger ke dalam situasi sukar, termasuk berhadapan dengan Boss Mario atau Tan Sri Aliff (Dato’ Afdlin Shauki), yang enggan membiarkannya pergi begitu sahaja.

Menurut Dato’ Afdlin Shauki, pengerusi KL Post Sdn Bhd dan pencipta DIN TIGER, idea untuk drama ini tercetus daripada pengalaman peribadinya serta kisah orang sekeliling yang menjadi mangsa penipuan. Drama ini memberikan perspektif unik dengan menyelami sisi pelaku jenayah ‘scam’, bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang bagaimana modus operandi mereka dijalankan dengan begitu rapi. Afdlin turut mendapat bimbingan daripada bekas pegawai polis, Tuan Rahmat Fitri Abdullah dan Tuan Kamal Affandi Hashim, yang berkongsi maklumat terperinci tentang jenayah penipuan komersial di Malaysia.
Afdlin turut berkongsi keterujaannya bekerja bersama Dato’ Aaron Aziz buat pertama kali. “Sepanjang kerjaya saya, ini kali pertama saya bekerjasama dengan Dato’ Aaron Aziz. Saya terinspirasi dengan profesionalismenya, dan ia adalah keputusan yang tepat untuk memberikan peranan utama kepada beliau,” ujar Afdlin.
Genre dramatik thriller aksi ini turut menampilkan pelakon berbakat seperti Josiah Hogan, Tony Eusoff, Datin Sri Nina Juren, Mia Sara Shauki, dan Adam Corrie Lee, bersama Dato’ Aaron Aziz dan Dato’ Afdlin Shauki sendiri.

Saluran DEGUP HD, Saluran 120, yang merupakan platform eksklusif di Unifi TV, menampilkan pelbagai kandungan menarik, termasuk drama bersiri tempatan, filem blokbuster, serta filem seram dan aksi antarabangsa. Pelanggan Unifi TV boleh menonton kandungan ini secara percuma melalui Unifi TV Box dan aplikasi Unifi TV.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan DIN TIGER yang penuh aksi dan elemen kejutan bermula 6 Januari 2025, setiap Isnin, jam 11 malam, hanya di DEGUP HD, Saluran 120. Tonton secara langsung atau strim secara percuma melalui aplikasi Unifi TV, dan nikmati ulangan melalui fungsi “Catch Up”. Saksikan kisah penuh emosi ini yang bakal membuka mata anda terhadap dunia jenayah ‘scam’ yang sering menjadi ancaman masyarakat!