Kumpulan MR D.I.Y. sekali lagi mencatatkan kejayaan besar dengan meraih anugerah ketujuh berturut-turut di World Branding Awards (WBA). Dalam edisi ke-17 anugerah berprestij yang dianjurkan oleh World Branding Forum, MR D.I.Y. telah diiktiraf sebagai “Jenama Peruncit Perkakas Rumah Terbaik” dalam kategori Anugerah Serantau, merangkumi empat pasaran utama iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Filipina. Sebelumnya, jenama ini telah meraih tiga Anugerah Kebangsaan dalam kategori Perkakas Rumah antara tahun 2018 dan 2020, diikuti oleh anugerah serantau dalam kategori yang sama sejak tahun 2021 hingga 2023.
Alex Goh, Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., mengungkapkan rasa syukur dan kegembiraan atas pencapaian tersebut. “Kami sangat bangga untuk memenangi World Branding Award untuk tahun ketujuh berturut-turut. Ini adalah hasil komitmen kami dalam memberikan nilai terbaik, perkhidmatan pelanggan cemerlang, dan pengalaman membeli-belah yang luar biasa. Anugerah ini membuktikan bahawa kami sentiasa memenuhi janjikan ‘Always Low Prices‘ yang terus dihargai oleh pelanggan kami,” katanya.
Goh juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah lain dan menekankan bahawa kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa dedikasi daripada kakitangan, rakan kongsi, serta sokongan padu daripada pelanggan di seluruh rantau ini. Beliau menambah, “Anugerah seperti ini mengingatkan kami bahawa usaha kami membawa kesan yang nyata.”
MR D.I.Y. yang bermula sebagai kedai perkakas tradisional di Malaysia pada tahun 2005 kini telah berkembang pesat dengan lebih 4,000 cawangan di seluruh Asia Tenggara. Jenama ini kini beroperasi di negara-negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, India, Turki, Sepanyol, Vietnam, Bangladesh, dan Poland.
Edisi ke-17 World Branding Awards yang berlangsung pada 26 November 2024 di Tower of London, United Kingdom, menyaksikan penyertaan lebih 1.3 juta pengguna dan 4,450 jenama dari 66 negara di seluruh dunia. Anugerah Serantau diberikan kepada jenama yang mendominasi beberapa negara dalam sebuah rantau, dengan pemenang dipilih berdasarkan kajian pasaran, penilaian jenama, dan undian awam dalam talian.
MR D.I.Y. berkongsi penghormatan ini dengan jenama terkenal lain seperti Farm Fresh, Spritzer, Munchy’s, Getha, Rotiboy, PETRONAS, dan Putrajaya Holdings. Untuk maklumat lanjut, layari laman web MR D.I.Y. di www.mrdiy.com dan ikuti mereka di media sosial di Facebook dan Instagram.