Gebyar Nusantara: Meriahkan Budaya Indonesia di Kuala Lumpur

Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah perayaan yang menonjolkan kekayaan seni, budaya, dan pelancongan Indonesia melalui festival Gebyar Nusantara. Acara yang akan berlangsung selama dua hari, pada 30 November dan 1 Disember 2024, di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), ini berjanji untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pengunjung Malaysia untuk lebih mengenali keunikan Indonesia dalam satu acara yang penuh dengan warna-warni budaya.

Anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Gebyar Nusantara bukan sekadar sebuah festival seni, tetapi juga sebagai platform untuk merayakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia yang sudah terjalin sekian lama. Festival ini juga diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-79, menjadikan acara ini lebih bermakna dengan membawa semangat persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono, menyatakan bahawa Gebyar Nusantara bertujuan untuk memperkuatkan lagi hubungan perdagangan, pelancongan, dan kerjasama sosial antara kedua-dua negara. “Selain mempromosikan warisan dan kebudayaan Indonesia, festival ini juga menjadi ruang untuk meningkatkan hubungan industri pelancongan dan memperkenalkan peluang ekonomi kepada pengunjung,” jelasnya.

Selama dua hari acara, para pengunjung berpeluang untuk menjelajah pelbagai destinasi pelancongan terkenal di Indonesia melalui pameran yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan Republik Indonesia. Antaranya adalah destinasi impian seperti Bali, Bandung, Lombok, dan Kalimantan. Dengan promosi khas dan maklumat eksklusif, pengunjung boleh merancang percutian mereka sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya unik setiap destinasi.

Bagi peminat makanan, Gebyar Nusantara menawarkan pelbagai hidangan Nusantara yang mencerminkan kekayaan cita rasa setiap daerah di Indonesia. Pengunjung boleh mencuba hidangan seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, Ayam Gepuk Top Global, serta pelbagai variasi kopi Indonesia yang popular di kalangan penggemar kopi. Selain itu, restoran Betawi Indonesian Cuisine dan Mama Medan turut menyediakan pengalaman kulinari yang membawa rasa asli Indonesia ke meja makan.

Festival ini juga menjanjikan hiburan tanpa henti dengan persembahan muzik yang menggabungkan seni tradisional dan kontemporari Indonesia. Artis terkenal dari Indonesia akan memeriahkan acara dengan penampilan mereka, termasuk persembahan oleh penyanyi muda yang sedang mencipta nama di Malaysia, Allen Anderson, serta persembahan lagu-lagu galau oleh Kureiji dan Patriot. Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan dari Erul Samah dan JZ Vibes yang menambah elemen kekinian ke dalam suasana festival.

Salah satu acara menarik ialah pengunjung berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan pelakon utama drama popular Indonesia, Devano dan Maria Theodore, dalam sesi istimewa bersama peminat. Selain itu, Zona Merah, sebuah terowong interaktif yang memberi pengalaman menarik tentang budaya dan seni Indonesia, turut disediakan untuk pengunjung yang ingin merasai sesuatu yang berbeza.

Selain itu, Gebyar Nusantara turut menyediakan ruang bagi pengunjung untuk meneroka hasil seni dan kraf tangan Indonesia. Para pengunjung dapat membeli barangan kraftangan asli seperti batik, wayang kulit, serta aksesori yang dihasilkan oleh pengkarya Indonesia. Festival ini memberikan peluang kepada artis dan pengusaha kecil dari Indonesia dan Malaysia untuk berinteraksi dan menjalin kerjasama dalam mempromosikan industri seni dan kraf tangan.

Selain mempamerkan keindahan seni dan kebudayaan, festival ini juga bertujuan untuk mempromosikan kerjasama yang lebih erat dalam industri pelancongan antara Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi platform penting untuk pemain industri pelancongan, pengusaha kecil dan sederhana (UMKM), serta masyarakat umum untuk menjalin kerjasama yang lebih strategik dan memperluas jaringan mereka.

Dengan segala tarikan yang disediakan, Gebyar Nusantara di Kuala Lumpur bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memperkukuh hubungan antara dua negara serumpun ini. Paling penting, festival ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendalami lebih dalam mengenai kebudayaan dan pelancongan Indonesia dalam suasana yang penuh keceriaan dan semangat persahabatan.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Kedutaan Besar Republik Indonesia, https://www.facebook.com/IndonesianEmbassyKualaLumpur.