Ahmad Fedtri Bin Yahya, atau lebih dikenali sebagai Fedtri Yahya, terus mencipta nama dalam industri penyiaran apabila berjaya meraih lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024. Terkenal sebagai pengacara TV dan penulis lirik yang dihormati di Malaysia, Fedtri turut baru-baru ini menerima pengiktirafan sebagai Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024.
Sebagai pengacara program-program terkenal seperti Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Aduan Jiwa, dan Soal Rakyat, Fedtri dicalonkan dalam empat kategori utama di Anugerah Seri Angkasa 2024. Antaranya termasuk Bicarawara TV Terbaik untuk Aduan Jiwa (Gelap Duniaku), Montaj TV Terbaik untuk Aduan Jiwa, dan dua pencalonan dalam kategori Pengacara TV Terbaik menerusi Jejak Rasul 2023 serta Aduan Jiwa. Beliau turut menerima pencalonan bagi Pengulas TV Terbaik menerusi rancangan Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria.
“Saya tidak menjangkakan untuk menerima pencalonan dalam empat kategori serentak pada tahun ini, lebih-lebih lagi ketika usia saya semakin meningkat. Ini adalah pencalonan terbanyak yang pernah saya peroleh, dan saya sangat teruja serta berdebar,” kongsi Fedtri dengan penuh rendah hati. Malah, beliau mengakui bahawa berita tersebut membuatkan beliau demam kerana terlalu terkejut, menggambarkan keadaan itu sebagai “demam kegembiraan.” Walaupun berasa sangat bersyukur, harapan Fedtri hanyalah untuk tersenarai dalam lima calon akhir bagi setiap kategori tersebut.
Pencalonan ini dilihat sebagai dorongan buat Fedtri untuk terus meningkatkan kualiti kerjayanya. Beliau bercita-cita untuk terus berkarya sepanjang hayat, sambil mengambil pendekatan yang lebih matang dalam berkarya di masa depan. “Selagi masih bernyawa, kecintaan saya terhadap bahasa akan terus berkumandang,” jelasnya dengan penuh semangat. Fedtri juga menyatakan hasrat untuk memiliki platform podcast sendiri pada masa hadapan, sebagai saluran yang membolehkannya berkongsi idea dan kreativiti dengan lebih bebas, selari dengan kehendak semasa.
Dua tokoh yang memberi inspirasi kepada Fedtri dalam memperjuangkan bahasa Melayu ialah Sasterawan Negara Usman Awang dan Jalaluddin Rumi. Usman Awang, melalui karya-karya sasteranya yang mendalam, banyak mempengaruhi pemikiran Fedtri. Manakala, Jalaluddin Rumi, seorang penyair terkenal, dikenali dengan kebijaksanaan dan keindahan bahasa dalam puisinya. Kedua-dua tokoh ini menjadi sumber inspirasi yang kuat kepada Fedtri dalam menyemai kecintaan terhadap bahasa dan sastera.
“Saya tidak mempunyai dorongan khusus untuk mencintai bahasa, tetapi saya ikhlas dalam berbahasa,” jelasnya. Beliau juga berharap agar bahasa Melayu terus dipelihara dan dimartabatkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Fedtri menekankan kepentingan penggunaan bahasa yang betul dan penghayatan mendalam terhadap warisan budaya melalui bahasa.
Sepanjang kerjayanya, Fedtri telah menempuhi pelbagai cabaran, termasuk insiden kehilangan suara selama sebulan semasa mengacarakan Jejak Rasul pada tahun 2022. Ketika itu, beliau bimbang kehilangan suara akibat cuaca yang panas. Namun, kegusaran tersebut bertukar menjadi kegembiraan apabila program Jejak Rasul mencatat lonjakan rating, memandangkan tempoh tersebut berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Saya masih ingat ketika ke bazar Ramadan, kanak-kanak kecil menegur saya dan memberi kata-kata semangat. Ia adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
Penggambaran di Syria turut memberi kesan mendalam kepada Fedtri, terutama selepas menyaksikan sendiri sebuah sekolah dibakar di depan matanya. Walaupun menghadapi situasi yang mencabar, beliau berpegang teguh kepada sokongan rakan-rakan sekerja dan tetap fokus kepada misi untuk menyampaikan mesej yang ingin diutarakan. Hal ini menjadikannya lebih positif dalam mendepani cabaran yang datang.
Sebagai tokoh yang mengangkat martabat bahasa, Fedtri Yahya diibaratkan sebagai pejuang bahasa, mengukir keindahan dalam setiap ucapannya. Baru-baru ini, beliau diberi pengiktirafan sebagai Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 peringkat kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Ipoh. Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai penghargaan terhadap usaha gigih Fedtri dalam memperjuangkan dan memperkasa bahasa Melayu, serta menjadi contoh kepada generasi muda.
Fedtri menyifatkan pengiktirafan sebagai Ikon Bahasa ini sebagai puncak daripada cintanya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang bermula sejak kecil. “Saya memang sangat minat dengan bahasa. Sejak kecil lagi, saya sering mencatat perkataan-perkataan yang unik dan mempelajari maksudnya. Minat ini berkembang dan akhirnya membentuk cinta saya terhadap bahasa,” katanya.
Sebagai Ikon Bahasa 2023/2024, Fedtri terus mengajak generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu. “Saya akan terus memberi sokongan dan turun padang. Setiap kali saya memberi ceramah atau melawat sekolah, saya sentiasa menggalakkan mereka untuk mencintai bahasa seperti saya,” tegasnya.
Ayuh gemerlapkan cinta bahasa, sebelum tiba gerhana mati rasa…
Kalau tidak kerana kerawang,
Tidaklah mahligai coraknya berseni,
Kalau tidak bahasa dijuang,
Tidaklah hamba bersimpuh di sini.
‘’Terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 & Media Prima yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar.’’
Tahniah sekali lagi diucapkan buat Fedtri Yahya atas pencalonan beliau dalam beberapa kategori di Anugerah Seri Angkasa 2024 dan dinobatkan sebagai Ikon Bahasa 2023/2024 pada 6 Oktober lalu.
Jadi untuk mendapatkan info terkini, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton melalui www.tonton.com.my. Anda juga boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.