Rumah Produksi Merah (RPM), yang dimiliki oleh lagenda rock tanah air, Dato’ Awie, mengambil inisiatif untuk menganjurkan Rock Warrior Music Festival (RWMF).
Musim dan teknologi terus berubah seiring dengan kemajuan zaman. Dari era rakaman analog, industri muzik kini telah beralih ke dunia digital yang lebih canggih dan inovatif. Namun, ini tidak menghapuskan kehebatan pemuzik legenda seperti Din dan Kid Search yang lebih dikenali sebagai Kid Din, serta kumpulan rock terkenal seperti Wings, XPDC, dan May. Mereka masih kekal relevan dan terus memikat hati peminat di tanah air.
Acara muzik yang epik ini bertujuan menghimpunkan band rock tempatan dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia. RWMF dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, dan akan memberikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada penggemar genre rock.
Festival sulung ini akan menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, serta Spider, Pop Shuvit, dan A.C.A.B. Mereka akan mempersembahkan lagu-lagu hit dari era kegemilangan rock hingga ke zaman kini. Dato’ Awie menekankan bahawa kelangsungan industri muzik perlu diteruskan dan festival ini adalah usaha untuk menghidupkan kembali suasana era muzik rock yang gemilang, serta menyatukan peminat dari generasi lama dan baru.
“Rock Warrior Music Festival adalah platform baru untuk mengetengahkan pemuzik-pemuzik lama dan baru. Kami merancang untuk mengadakan acara ini setiap tahun,” ujar Dato’ Awie. Beliau juga menyatakan harapan untuk menonjolkan bakat-bakat baru dalam muzik rock yang mampu mewarnai dan menggantikan nama-nama besar yang mungkin akan pergi.
Festival ini bukan sahaja memberi peluang kepada band-band baru untuk mempersembahkan bakat mereka, tetapi juga untuk memperkenalkan lagu dan karya original kepada dunia. Dato’ Awie turut mengumumkan bahawa festival ini akan menjadi satu bentuk “Rock United” dengan melibatkan band-band dari Malaysia dan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia di masa depan.
“Dengan penekanan kepada kepelbagaian bakat dalam kalangan penyanyi rock, festival ini menunjukkan komitmen penganjur dalam mempromosikan inovasi dalam industri muzik tempatan,” tambahnya. Rock Warrior Music Festival juga akan menyediakan pelbagai gerai jualan dan tarikan untuk kanak-kanak, menjadikannya lebih daripada sekadar festival muzik—ia adalah sebuah karnival untuk semua golongan masyarakat. Peminat muzik yang lebih tua dapat kembali ke nostalgia, sementara yang lebih muda berpeluang merasai pengalaman baru.
Festival ini bukan sahaja acara hiburan yang harus disaksikan, tetapi juga menjadi tonggak penting bagi perkembangan muzik rock di Malaysia. Diharapkan, festival ini akan menjadi mercu tanda yang mengangkat kegemilangan muzik rock, serta memberi inspirasi kepada peminat muzik tanah air. Dato’ Awie menekankan bahawa festival ini adalah penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia. “Kami mahu menghidupkan semula semangat rock dan memberikan pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” katanya.
Selain daripada persembahan muzik yang mengujakan, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik. Terdapat gerai makanan dan minuman, serta produk-produk gaya hidup rock seperti aksesori dan barangan eksklusif. Festival ini juga akan mempunyai hiburan untuk seluruh keluarga, memastikan tiada had umur untuk kemasukan.
Pentas Rock Hero akan menjadi salah satu tumpuan utama, menampilkan 24 band yang akan beraksi dari tengah hari hingga malam. Malam pertama akan menampilkan Wings, Search KidDin, dan XPDC Militia, sementara malam kedua akan dimeriahkan oleh May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B., dan Rockqueen, Ella.
Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu, dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi. Harga tiket untuk dua hari termasuk Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200, dan Bronze (standing) RM150. Menariknya, pembeli tiket RM150 dibenarkan membawa kerusi healing/camping untuk menyaksikan persembahan.
Bagi band yang ingin menyertai Pentas Rock Hero, mereka boleh menghantar demo atau video melalui emel atau WhatsApp yang disediakan. Dengan pelbagai aktiviti dan persembahan hebat, Rock Warrior Music Festival dijangka menjadi satu acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik rock di Malaysia.