Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah melancarkan Kad Kredit-i Mastercard Inspire, sebuah kad kredit yang patuh Syariah dan direka khas untuk golongan profesional muda.
Kerjasama dengan Mastercard ini menghasilkan kad inovatif yang menawarkan pelbagai manfaat eksklusif, bertujuan membantu graduan dan individu yang baru memulakan kerjaya dalam pengurusan kewangan yang lebih bijak dan efisien.
Dengan rekaan minimalis yang menarik, kad terbaru ini tersedia dalam empat pilihan warna yang stylish, memastikan ia sesuai dengan pelbagai gaya peribadi. Menariknya, 94% daripada bahan yang digunakan untuk kad ini adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan, menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam dan lestari.
Mizan Masram, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit, menjelaskan bahawa Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire dirancang untuk memenuhi keperluan pengguna kad kredit yang pertama kali, dengan menawarkan pengecualian fi tahunan sepanjang hayat. “Kad ini bukan hanya sekadar alat pembayaran; ia adalah kunci untuk membuka pelbagai kemungkinan dan memperkayakan pengalaman pengguna. Kami berkomitmen untuk mendidik pelanggan mengenai pengurusan kewangan yang sihat sambil membenarkan mereka menikmati setiap penemuan penggunaan,” katanya.
Pemegang kad juga akan menerima 2X TruPoints untuk pembelian dalam talian dan tiket penerbangan, serta mata ganjaran tanpa had bagi setiap transaksi runcit, memberikan nilai tambahan untuk setiap pembelian. Mata TruPoints yang terkumpul boleh ditebus dengan mudah di mana-mana peniaga Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia melalui aplikasi mudah alih Bank Islam Mastercard Pay with Rewards™.
Selain daripada ganjaran menarik, Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire juga menawarkan kelebihan praktikal seperti kemasukan percuma ke Plaza Premium Lounge sebanyak dua kali dan diskaun 20% untuk kadar tambang KLIA Ekspres, menjadikannya pilihan ideal bagi pengembara yang ingin menikmati kemudahan dan penjimatan. Pemegang kad juga berpeluang untuk menikmati pelbagai tawaran eksklusif daripada Mastercard sepanjang tahun.
Bagi menyambut pelancaran kad ini, Bank Islam menawarkan promosi istimewa dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2024. Pemegang kad baharu yang membuat permohonan dan mengaktifkan Kad Kredit-i Inspire mereka dengan perbelanjaan minimum RM100 dalam satu transaksi akan menerima baucar Grab bernilai RM30, yang boleh ditebus dalam aplikasi Grab untuk perkhidmatan GrabFood dan GrabRide.
Sebagai tambahan, Bank Islam mengundang semua untuk menyertai acara eksklusif ‘Passport to Inspire’ di Central i-City, Shah Alam dari 26 hingga 29 September 2024. Acara selama empat hari ini akan menampilkan bengkel interaktif, sesi pengurusan kewangan, dan peraduan yang menawarkan hadiah edisi khas yang menarik. “Jangan lepaskan peluang ini untuk bertemu kami dan meneroka manfaat Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire,” tambah Mizan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard Inspire, promosi- promosi yang dianjurkan serta permohonan, sila layari laman sesawang www.bankislam.com atau mengunjungi cawangan Bank Islam terdekat.