Bukan wajah baharu, Que Haidar membuktikan pengalaman dan kredibilitinya masih relevan dalam industri
Aktor berkaliber, Que Haidar, mungkin bukan lagi nama yang kerap menghiasi kaca televisyen sebaris dengan pelakon drama generasi baharu, namun sumbangannya dalam dunia seni lakon tanah air tidak pernah pudar. Pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini telah lama “masak” dengan industri hiburan sejak awal tahun 2000-an dan membina reputasi kukuh menerusi pelbagai watak berimpak di layar lebar serta televisyen. Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaannya meraih trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Castello, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon versatil.
Selepas lebih sedekad menyepi daripada drama bersiri, Que Haidar kini membuat kemunculan semula menerusi naskhah baharu berjudul Pak Su Ammara, terbitan Global Station Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di Astro Ria. Kali terakhir beliau terlibat dalam drama bersiri adalah kira-kira 16 tahun lalu, dan keputusan untuk kembali bukanlah sesuatu yang mudah. Menurut Que, sebelum ini beliau sering menolak tawaran drama bersiri kerana kekangan masa penggambaran yang padat, sehingga menyukarkan pelakon untuk benar-benar menyerap dan menghayati karakter. Namun, bimbingan pengarah Azri Izhar serta sokongan tenaga kerja produksi yang positif membuatkan beliau berasa selesa dan seronok sepanjang penglibatan dalam Pak Su Ammara.
Menerusi drama ini, Que Haidar membawa watak Firdaus atau Pak Su, seorang lelaki yang menjadi figura penting dalam kehidupan watak utama. Que turut mengakui keterujaannya menerima tawaran tersebut kerana peluang bergandingan dengan aktres Ummi Nazeera. Menurutnya, Ummi banyak membantu dalam membentuk keserasian lakonan, selain sokongan daripada pelakon berpengalaman seperti Dian P. Ramlee serta pelakon muda yang membawakan watak Ammara, yang disifatkannya sebagai sangat komited dan berbakat.
Walaupun mengakui perasaan gugup ketika kembali ke set penggambaran drama berepisod selepas sekian lama, Que menegaskan sikap profesional menjadi keutamaannya. Beliau menganggap peluang ini sebagai doa yang dimakbulkan, apabila dikelilingi individu-individu yang baik dan memberikan tenaga positif sepanjang produksi. Justeru, setelah membuat keputusan untuk kembali, Que bertekad untuk memberikan yang terbaik dan tidak akan sesekali “menarik handbrake” dalam menjayakan wataknya.
Pak Su Ammara mengisahkan perjalanan hidup Hamiza, seorang guru prasekolah yang terperangkap dalam perkahwinan toksik sebelum membuat keputusan meninggalkan hubungan tersebut ketika sedang hamil. Dalam usahanya membesarkan anak sebagai ibu tunggal, Hamiza bertemu dengan Firdaus, bapa saudara kepada salah seorang muridnya, Ammara Rose. Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka. Drama 20 episod ini turut dibintangi Syazwan Zulkifly dan Dian P. Ramlee, dan dijadualkan mula bersiaran di Astro Ria pada 5 Januari 2026.