Pentas Mega Remember Fest Lonjak Nama di Indonesia
Bakat muda sensasi tanah air, Atta Rumnan, terus membuktikan kemampuannya untuk menembusi pasaran muzik serantau apabila beliau mencipta gelombang besar menerusi dua persembahan berprestij di Indonesia dan Sabah baru-baru ini. Pada usia baru mencecah 19 tahun, Atta mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya penyanyi Malaysia yang diundang beraksi di Remember Fest, sebuah festival mega di Indonesia yang turut menghimpunkan barisan pemuzik legenda serantau seperti Padi Reborn, Dewa 19, Tulus, Mahalini, dan Dato’ Sri Rossa.
Gandingan Mantap Atta Rumnan Duet Rossa di Sabah
Penyertaan ini bukan sahaja membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa, malah membuka ruang pertembungan seni yang lebih bermakna di sebalik tabir. Pertemuan bersama ratu balada Indonesia, Dato’ Sri Rossa, di belakang pentas festival tersebut membuahkan hasil apabila Atta menerima undangan istimewa untuk berduet bersama penyanyi tersohor itu di Sabah. Tanpa sebarang sesi latihan fizikal yang panjang dan hanya bergantung kepada sesi sound check ringkas, Atta membuktikan profesionalismenya dengan menyampaikan lagu-lagu popular seperti Kasih Tak Sampai, lagu Mandarin Wo Men Bu Yi Yang, serta single terbaharunya, Maafkan, di hadapan tetamu kenamaan termasuk pemimpin peringkat kementerian.

Pujian Barisan Pemimpin dan Pengiktirafan Bakat Pelapis
Persembahan bertenaga itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah, Dato’ Nizam, serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin. Pujian terbuka daripada Rossa menerusi media sosial dengan lafaz penghargaan memperkukuhkan lagi status Atta sebagai bakat pelapis yang wajar diberi perhatian. Keupayaan vokal mantap serta kebolehan unik menyanyi dalam pelbagai bahasa jelas menjadi aset besar buat Atta dalam mengukuhkan jenama seninya di peringkat global.













