
Penyatuan dua figura berprofil tinggi negara, penyanyi dan pelakon Bella Astillah bersama tokoh politik YB Syed Saddiq, kini diabadikan menerusi program siri realiti istimewa lapan episod terbitan Astro bertajuk Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq.
Ditayangkan bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa jam 11 malam di Astro Ria (saluran 104) serta platform On Demand menerusi Astro GO dan Sooka, naskhah ini membawa penonton menelusuri kisah di sebalik tabir debaran persiapan hari bahagia, memori perkenalan, hingga adaptasi kehidupan berumah tangga bersama anak-anak tercinta, Ayden dan Ara.
Sorotan utama siri eksklusif ini tertumpu kepada episod ketiga yang menyiarkan secara langsung detik ijab kabul pasangan ini dari Menara Merdeka 118 pada Sabtu, 10 Oktober 2026, jam 9 pagi secara serentak merentasi saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani, Sooka, Astro GO, serta platform media sosial Astro Gempak dan Astro Malaysia. Kemeriahan diteruskan menerusi siaran langsung majlis resepsi Kuala Lumpur di MITEC pada 18 Oktober jam 8 malam menerusi Astro Prima, sebelum pasangan mempelai diraikan dalam dua majlis resepsi keluarga di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026.

Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, menyatakan penghargaan atas kepercayaan pasangan ini memilih Astro sebagai penyiar rasmi bagi merakam detik bersejarah berkenaan. Siri ini bakal diakhiri dengan paparan eksklusif episod 5 hingga 8 yang membawakan sisi peribadi kehidupan sebenar mereka selepas bergelar suami isteri, penyesuaian rutin keluarga, rakaman majlis tertutup, serta persiapan percutian bulan madu yang belum pernah disiarkan kepada umum.


