Vanessa Reynauld Perkenal Single Mandarin Pertama Menjelang Akhir 2025

Menjelang penghujung tahun 2025, penyanyi berbakat besar dari Malaysia, Vanessa Reynauld, mempersembahkan single Mandarin pertamanya berjudul Would You Leave Me Too?, yang dilancarkan secara rasmi pada 28 November 2025 di semua platform penstriman utama. Pelancaran ini menjadi hadiah istimewa buat para peminat serta menandakan satu langkah penting dalam perjalanan seninya, apabila beliau mula meneroka pasaran muzik Mandarin secara serius.

Anak seni kelahiran Klang ini terus mengembangkan pengaruhnya di peringkat serantau susulan penyertaannya dalam program variasi muzik dari China, The Voice Power. Rancangan tersebut memperkenalkan format unik berasaskan pemilihan secara buta, sekali gus menonjolkan keupayaan vokal semata-mata tanpa bergantung kepada visual atau populariti. Penyertaan ini memperkukuhkan lagi reputasi Vanessa sebagai penyanyi yang berani mencabar batas bahasa dan budaya.

Menerusi Would You Leave Me Too?, Vanessa menampilkan sebuah balada penuh emosi yang menyelami tema cinta, kehilangan dan ketidaktentuan hubungan. Lagu ini menonjolkan kekuatan vokalnya yang versatil, disokong susunan muzik berteraskan piano lembut dengan sentuhan R&B dan akustik, menjadikannya karya yang intim dan menyentuh perasaan pendengar.

Dengarkan ‘Would You Leave Me Too?’ DI SINI: https://vanessareynauld.lnk.to/WYLMT