TV3 Memeriahkan Ramadan 2026 Dengan Program Gaya Hidup Penuh Nilai Kekeluargaan

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga musim paling “hidup” dalam setahun. Dapur kembali sibuk menjelang Maghrib, meja makan menjadi titik temu, dan detik berbuka terasa lebih bermakna apabila disertai cerita yang dekat di hati.

Mengangkat suasana ini, TV3 memperkenalkan kempen Jwanjih Kenyang, yang menampilkan tiga program gaya hidup yang melangkaui resipi dan sajian semata-mata. Kempen ini menekankan nilai kekeluargaan, memori, dan hubungan yang terjalin di sebalik setiap hidangan, sekaligus mewujudkan pengalaman seolah-olah penonton duduk semeja bersama selebriti kegemaran mereka.

Program pertama, Oh Mummy!, menampilkan sisi seorang ibu yang jarang dilihat, dengan jadual padat, suasana kelam-kabut, urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai, serta momen parenting yang hadir tanpa dirancang. Menampilkan Elfira Loy bersama keluarga, rancangan ini membawa penonton menyelami kehidupan seorang ibu yang mengimbangi kerjaya dan keluarga melalui rutin harian dan cabaran silih berganti, namun tetap disulami kasih sayang. Oh Mummy! mula bersiaran pada 14 Februari 2026, setiap Sabtu jam 7.00 malam di TV3.

Program kedua, Jom Berbuka, menekankan bahawa waktu berbuka bukan sekadar tentang menu di atas meja, tetapi tentang cerita yang terjalin di sebaliknya. Rancangan ini menampilkan selebriti bersama ahli keluarga menyediakan juadah iftar sambil berkongsi kisah Ramadan, daripada tradisi turun-temurun hingga memori yang membentuk diri mereka hari ini. Antara selebriti yang terlibat termasuk Angah Raja Lawak, Dato’ Fazley Yaakob, Nabila Huda, Cat Farish dan Fiza Frizzy bersama keluarga masing-masing. Konsepnya ringkas tetapi berkesan, menjadikan masakan sebagai medium untuk perkongsian hati ke hati. Episod pertama bersiaran pada 14 Februari 2026, setiap Sabtu jam 7.30 malam di TV3.

Program ketiga, Anak Mama Masak Apa Tu?, membawa konsep masakan santai dan playful di mana seorang ibu selebriti bergandingan dengan anak dalam menyediakan hidangan pilihan mereka. Ia lebih daripada sekadar perkongsian menu, dengan momen spontan, gelak tawa, serta keserasian yang mencuit hati. Menampilkan Rozita Che Wan bersama anaknya, Aaisyah, rancangan ini dijangka menjadi antara tarikan utama musim Ramadan menerusi aura dan karisma duo ibu dan anak yang menyerlah di layar kaca. Program ini mula bersiaran pada 15 Februari 2026, setiap Ahad jam 7.00 malam di TV3.

Melalui kempen Jwanjih Kenyang, TV3 menjadikan kebersamaan sebagai teras utama kandungan Ramadan tahun ini. Setiap program hadir dengan pendekatan tersendiri, namun berpaksikan mesej yang sama: Ramadan bukan sekadar tentang juadah, tetapi tentang insan yang berkongsi momen bersama. Dari realiti kehidupan seorang ibu, suasana iftar yang sarat nostalgia, hingga ke dapur yang merapatkan hubungan antara generasi, keseluruhannya disusun untuk memperkaya pengalaman tontonan sepanjang musim istimewa ini.

Saksikan rangkaian program Ramadan dan Raya 2026 di TV3 atau strim menerusi platform digital TV3, kerana setiap detik kebersamaan lebih bermakna apabila diraikan bersama.