TV3 & Alternate Records Ukir Sejarah, Raih Dua Kemenangan Besar di ContentAsia Awards 2025!

TV3 dan Alternate Records sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila meraih dua pengiktirafan berprestij di ContentAsia Awards 2025 yang berlangsung di Taipei pada 4 September lalu. Kemenangan ini membuktikan keupayaan industri hiburan dan kandungan tempatan untuk terus berdiri sebaris dengan produksi antarabangsa.

Lagu popular “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan, runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah Slot Akasia TV3, dinobatkan sebagai pemenang Gold Award bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. Dicipta oleh Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna, karya ini berjaya memikat hati juri dengan melodi penuh emosi serta susunan bunyi yang menguatkan penceritaan drama tersebut. Sebelum ini, “Hening Rindu” turut mencatat sejarah apabila menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39).

Anugerah ini diterima oleh Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik & Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks, yang menegaskan bahawa pencapaian ini membuktikan dedikasi karyawan tempatan mampu menghasilkan karya bertaraf dunia. Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi bukti bahawa kreativiti dan muzik tempatan berdaya saing serta relevan di peringkat global.

Selain itu, TV3 turut meraih Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia menerusi dokumentari “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1.” Dokumentari ini mengetengahkan tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman, sekali gus membuka perbincangan tentang isu buli dan penderaan yang masih menghantui masyarakat. Penerbit Eksekutifnya, Ahmad Farith Zahir, menyatakan bahawa kisah ini bukan sekadar laporan jenayah, tetapi pengajaran besar mengenai persahabatan, amanah, dan akibat pengkhianatan.

Majlis ContentAsia Awards 2025 menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari seluruh Asia dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet. Kejayaan ini menegaskan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang muzik, hiburan, dan kandungan kreatif serantau, sekaligus memberi inspirasi untuk terus melahirkan karya-karya berimpak tinggi di pentas global.