Aplikasi MYTV Mana-Mana terus memperkukuhkan peranannya dalam menawarkan kandungan hiburan tempatan berkualiti dengan memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals berjudul BF Green Flag. Siri 20 episod berdurasi tujuh minit ini boleh ditonton bermula 13 November, setiap hari Khamis jam 12.00 tengah hari, secara eksklusif di MYTV Mana-Mana.
Diterbitkan oleh Astra Entertainment, siri ini mempertaruhkan gandingan pertama kali antara Syazwan Razak dan Athalia sebagai teraju utama. Dalam BF Green Flag, Syazwan menyerlah dengan lakonan yang lebih matang dan berkarakter menerusi watak Alfa, manakala Athalia yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi mencuri perhatian dengan penampilan sulungnya sebagai pelakon.
Turut membintangi siri ini ialah barisan pelakon dan personaliti popular seperti Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, Dottie Syuhada serta penampilan istimewa pempengaruh media sosial terkenal seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai. Gabungan pelakon berpengalaman dan wajah baharu ini mewujudkan keseimbangan yang segar dan dinamik, bukan sahaja dari segi tenaga lakonan, tetapi juga dalam memperkayakan penceritaan, sekali gus menawarkan pengalaman tontonan yang lebih segar kepada penonton.
BF Green Flag mengangkat kisah Adella yang menutup pintu hatinya untuk bercinta selepas dikhianati dalam hubungan toksik. Namun, hidupnya berubah apabila dia dipertemukan dengan Alfa, jejaka yang dikenalkan oleh makciknya. Dari rasa curiga bertukar menjadi percaya, dari luka lama perlahan-lahan sembuh, BF Green Flag menyingkap perjalanan Adella mencari keberanian untuk mencintai semula bersama lelaki yang benar-benar menjadi “green flag” dalam hidupnya.
Lebih daripada sekadar hiburan, siri arahan Kamal Husni dengan skrip oleh Faten Syamimie ini turut mengetengahkan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja dan anak muda, khususnya kesan trauma daripada hubungan toksik. Kisah yang dipaparkan berpotensi menjadi satu wake-up call kepada generasi muda untuk lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental, mengenali tanda-tanda hubungan tidak sihat serta memahami betapa pentingnya kepercayaan dalam membina hubungan yang sihat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, pelancaran MYTV Originals merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan. Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya MYTV bukan sahaja bertindak sebagai platform penyiaran, tetapi juga sebagai pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan yang lebih segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini. Melalui BF Green Flag sebagai siri original pertama, MYTV mahu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton dengan karya berkualiti tinggi sambil memperkukuh daya saing kandungan Malaysia di peringkat digital.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa BF Green Flag akan mendapat tempat di hati penonton, khususnya dalam kalangan Gen Z kerana tema dan mesej yang diangkat dekat dengan realiti kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, jalan cerita dan emosi yang dipaparkan diyakini tetap relevan untuk semua lapisan penonton Malaysia kerana ia menyentuh tema universal seperti trauma, kepercayaan dan peluang kedua dalam kehidupan. MYTV berharap siri ini bukan sahaja diterima baik oleh penonton, malah mampu mencetuskan impak positif kepada industri kreatif tempatan.
Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Dato’ Rozaidi Baharudin pula menegaskan bahawa setiap naskhah yang diterbitkan harus membawa nilai dan bukan sekadar hiburan semata-mata. BF Green Flag dihasilkan untuk mengetengahkan tema yang dekat dengan Gen Z seperti trauma, kepercayaan dan cinta yang sihat, di samping membuka ruang kepada pelakon muda untuk menyerlah melalui penceritaan yang dekat di hati mereka.
Menambahkan lagi keistimewaan, siri ini turut menampilkan lagu tema berjudul Hanya Namamu Cinta nyanyian Dafi, rakaman semula daripada album pertamanya yang kini diberi nafas baharu khusus untuk BF Green Flag. Versi terkini lagu ini menguatkan lagi emosi penceritaan, seiring dengan perjalanan watak-watak utama dalam mencari cinta dan menyembuhkan luka hati.
Saksikan siri original BF Green Flag secara eksklusif di MYTV Mana-Mana bermula 13 November, setiap hari Khamis pada jam 12.00 tengah hari. Ikuti juga akaun media sosial MYTV dan MYTV Mana-Mana di semua platform untuk klip eksklusif dan maklumat terkini. Nantikan juga kerjasama di antara MYTV dan CelcomDigi yang bakal diumumkan dengan tawaran menarik kepada pelanggan CelcomDigi untuk menonton MYTV Originals dan kandungan premium di aplikasi MYTV Mana-Mana.