TV AlHijrah terus melakar pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena majlis 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre, hari ini. Pengiktirafan berprestij itu menjadi bukti komitmen berterusan organisasi berkenaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan, kesejahteraan warga kerja serta mewujudkan persekitaran kerja yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pengasas World CSR Day dan World Sustainability Congress merangkap Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards, Dr. R. L. Bhatia. Majlis tersebut dianjurkan oleh Employer Branding Institute dari India dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa termasuk World HRD Congress serta World Federation of HR Professionals (WFHRP).
Majlis berprestij itu turut menghimpunkan pelbagai organisasi dan institusi daripada sektor berbeza yang turut menerima pengiktirafan atas komitmen mereka terhadap pembangunan modal insan. Antara organisasi yang diraikan termasuk Pullman KLCC, LUNAS, Atlantic Container Lines Sdn. Bhd., Alibaba Cloud Malaysia, SP Setia Berhad, DHL Malaysia, Co-Op Bank Pertama, Dell Technologies Malaysia serta I-Car Asia Sdn. Bhd.

Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron yang hadir bersama Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam membina budaya kerja yang positif dan mampan.
Menurut beliau, TV AlHijrah percaya warga kerja merupakan aset paling penting dalam organisasi. Dedikasi, komitmen dan nilai yang dibawa oleh seluruh warga kerja menjadi faktor utama yang memacu pertumbuhan serta transformasi organisasi itu sehingga mampu terus berkembang dalam landskap media yang semakin dinamik.
Tambahnya lagi, sebagai sebuah organisasi media yang berteraskan nilai Islam, TV AlHijrah akan terus komited memperkukuh budaya kerja yang progresif, inovatif dan inklusif. Pendekatan tersebut juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI selain memenuhi keperluan perubahan industri media dan digital masa kini.
Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja TV AlHijrah atas segala sumbangan serta komitmen yang diberikan. Menurutnya, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan organisasi semata-mata, malah merupakan hasil usaha kolektif seluruh tenaga kerja yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk budaya kerja positif.
Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 merupakan pengiktirafan kepada organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, strategi pengambilan pekerja, kesejahteraan pekerja, pembangunan kepimpinan, budaya kerja dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat. Pengiktirafan ini dilihat sebagai satu pencapaian signifikan buat TV AlHijrah dalam memperkukuh reputasinya sebagai organisasi media yang sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan tenaga kerja.









