The Chosen One Xtra minggu kedua kembali dengan tema penuh meriah, “Trending Lit!”. Malam yang berlangsung menyaksikan gabungan persembahan bertenaga daripada tujuh kumpulan peserta cilik bersama coach selebriti masing-masing. Uniknya, minggu ini tiada penyingkiran diumumkan, sekali gus memberi peluang kepada semua peserta mara ke minggu seterusnya.
Barisan juri tetap yang terdiri daripada Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah turut ditemani oleh juri jemputan, Datin Marlia Musa, manakala pentas terus dikendalikan dengan penuh jenaka dan karisma oleh hos popular, Nabil Ahmad.
Senarai lagu yang dibawakan minggu ini cukup pelbagai dan memikat hati penonton. Achey bersama Rayyan dan Dahlya tampil dengan lagu “Sejati” oleh Wings yang memberi impak tersendiri. Tuju dan Loca B bersama Elysha dan Fana membawakan “Janji Manis” nyanyian Masdo, menambahkan warna pop segar di pentas. Usop pula berganding dengan Alif dan Yusuf menerusi lagu balada penuh emosi “Hijab Rindu” yang pernah dipopularkan oleh Black.
Bunga bersama Nayla dan Zahra memberi kelainan dengan mashup dua lagu iaitu “Korban Penceraian” dan “Laskar Pelangi”, memperlihatkan kreativiti dalam persembahan. Naqiu yang memimpin pasukan besar terdiri daripada Iaman, Syawal serta kumpulan Saputra dengan lima orang ahli muda tampil penuh tradisi menerusi lagu malar segar Ahmad Jais, “Umpan Jinak di Air Tenang”. Nikki Palikat pula membimbing Iman dan Adawiya menyanyikan “Kau Dihatiku” oleh Datuk Zainal Abidin dengan penuh penghayatan. Sementara itu, Namie bersama Ayu dan Bella menggabungkan dua karya indah, “Retak Hatiku” dan “Kasih Kekasih”, menutup malam dengan suasana romantik dan syahdu.

The Chosen One Xtra musim ini bukan sekadar pentas nyanyian semata-mata. Program ini turut membuka ruang kepada para bintang cilik untuk menonjolkan bakat lain termasuk tarian, akrobatik dan kebolehan bermain instrumen muzik. Dengan barisan coach selebriti yang terdiri daripada nama-nama besar seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan Naqiu, setiap persembahan menjadi medan pembelajaran berharga buat peserta muda ini.
Keseluruhan markah persembahan diberikan sepenuhnya oleh pihak juri sejurus selepas persembahan berakhir. Lebih menarik, pemenang utama The Chosen One Xtra bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala tempat kedua, ketiga dan keempat turut menerima hadiah lumayan masing-masing bernilai RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 bersama trofi. Di samping itu, pentas akhir juga akan menobatkan Coach Terbaik dan Persembahan Terbaik, masing-masing dengan hadiah wang tunai RM10,000.
Dengan tema yang segar, persembahan memukau dan tiada penyingkiran pada minggu ini, semangat peserta semakin membara untuk memberikan yang terbaik di minggu seterusnya. The Chosen One Xtra terus membuktikan dirinya sebagai sebuah platform yang menyerlahkan bakat muda tanah air dengan cara yang unik dan penuh warna.