Terjatuh: Bahaya Yang Sering Dipandang Remeh Tetapi Boleh Mengubah Hidup

Pernahkah anda mendengar tentang seseorang yang perlu dimasukkan ke hospital akibat terjatuh? Walaupun kelihatan seperti insiden kecil, hakikatnya bagi ramai individu, satu kejadian jatuh boleh mengubah seluruh kehidupan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jatuh merupakan punca kematian kedua tertinggi akibat kecederaan tidak disengajakan dengan lebih 684,000 kematian direkodkan setiap tahun. Namun begitu, ramai masih memandang ringan perkara ini dan hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan menjadi teruk.

Menurut Dr Cyrus Lai Sin Nan, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ramai pesakit datang ke Jabatan Kecemasan selepas jatuh tetapi masih boleh bercakap dan bergerak seperti biasa. Namun, hasil imbasan menunjukkan kecederaan dalaman yang serius seperti pendarahan di otak atau abdomen. Katanya, ketiadaan tulang patah tidak bermakna tiada masalah kerana kecederaan dalaman sering kali tidak menunjukkan simptom serta-merta. Rawatan segera adalah langkah penting yang boleh membezakan antara hidup dan maut.

Kejadian jatuh bukan hanya berlaku dalam kalangan warga emas tetapi juga kepada kanak-kanak, golongan bekerja dan atlet. Faktor seperti permukaan licin, kelemahan otot akibat kurang aktiviti fizikal, masalah penglihatan atau tekanan darah rendah meningkatkan risiko untuk jatuh. Gabungan faktor-faktor ini menjadikan insiden yang nampak kecil boleh membawa kepada kecederaan dan trauma yang serius.

Di SMCV, kes trauma diuruskan dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pakar termasuk pakar bedah dan pakar perubatan bagi memastikan setiap kecederaan, termasuk yang tidak kelihatan, dapat dikenal pasti dan dirawat dengan pantas. Sebagai contoh, hentakan kecil di kepala boleh menyebabkan pendarahan dalaman dan komplikasi jangka panjang seperti gangguan fungsi fizikal, kognitif dan emosi. Dalam kes lebih teruk, ia boleh mencetuskan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer’s, Parkinson’s dan chronic traumatic encephalopathy (CTE).

Warga emas merupakan golongan paling berisiko kerana satu jatuh sahaja boleh menyebabkan patah tulang pinggul yang memerlukan pembedahan penggantian pinggul total (THR). Kes seperti ini dijangka meningkat sehingga 3.5 kali ganda di Malaysia menjelang tahun 2050. Dr Cyrus menjelaskan bahawa pembedahan THR bukan sahaja membantu memulihkan fungsi pinggul malah membolehkan pesakit kembali menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa.

Beliau turut menasihati agar orang ramai tidak mengabaikan rawatan kecemasan selepas jatuh dan tidak bergantung kepada kaedah tradisional di rumah seperti menyapu minyak atau mengurut kawasan lebam. Sebaliknya, pesakit perlu berehat, meletakkan ais pada bahagian yang sakit, dan segera mendapatkan pemeriksaan jika kesakitan berterusan. Penilaian awal membolehkan doktor mengesan kecederaan tersembunyi sebelum komplikasi berlaku.

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kes kecemasan dan trauma, SMCV telah memperluas serta menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Kemalangan. Peningkatan ini termasuk kawasan triage yang lebih efisien, ruang rawatan tambahan serta kapasiti katil pesakit yang lebih besar. Langkah ini membolehkan hospital memberi rawatan segera dan terselaras kepada setiap pesakit.

Menurut Dr Wee Tong Ming, Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di SMCV, peluasan jabatan tersebut mencerminkan komitmen hospital untuk menyediakan rawatan pantas, efisien dan penuh perhatian kerana dalam situasi kecemasan, setiap saat amat berharga. Dengan peningkatan usia penduduk dan gaya hidup sedentari, risiko jatuh dijangka meningkat dan menjadi cabaran kesihatan awam yang serius. Melalui peningkatan kemudahan, kepakaran dan kesedaran berterusan, SMCV bertekad memastikan keselamatan masyarakat terjamin dengan rawatan kecemasan yang menyeluruh dan penuh keprihatinan.

Untuk maklumat lanjut, Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Hubungi +603 9772 9191 atau emel smcv-enquiry@sunway.com.my. Layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my atau Facebook Sunway Medical Centre Velocity untuk maklumat lanjut.