Nad Zainal Kembali dengan Lakonan Penuh Emosi dalam Slot Megadrama

Sejak September lalu, pelakon berbakat besar Nad Zainal dilihat semakin aktif berkongsi gambar dan video di media sosial yang memperlihatkan dirinya kembali sibuk di lokasi penggambaran. Perkongsian tersebut nyata mencuri perhatian para peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan terbarunya menerusi drama baharu terbitan Astro yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih drama Bahagia Yang Tertangguh sebagai naskhah comeback-nya, Nad menjelaskan bahawa beliau merindui suasana bekerja di set penggambaran dan dunia lakonan yang sudah sebati dalam dirinya. Menurutnya, selepas membaca novel asal drama tersebut, beliau terus tertarik dengan jalan ceritanya yang mengetengahkan isu “ipar toksik”, tema yang jarang dibawa ke dalam drama tempatan.

Nad turut berkongsi harapannya agar watak yang dibawanya mampu memberi inspirasi, khususnya kepada wanita yang bergelar ibu tunggal. Beliau mahu kaum wanita dapat merasai perjuangan Nurin Hana, watak utama yang dilakonkan olehnya, dan mengambil semangat untuk terus kuat walaupun berdepan cabaran serta pandangan serong masyarakat.

Dalam mendalami karakter Nurin Hana, seorang wanita yang berdepan gangguan anxiety akibat tekanan hidup, Nad banyak melakukan kajian dengan menonton video, membaca artikel dan melatih ekspresi serta pergerakan agar lebih realistik dan konsisten dalam setiap babak yang melibatkan serangan panik.

Watak Nurin Hana turut digambarkan sebagai seorang ibu kepada anak lelaki berusia lima tahun. Bagi menjayakan hubungan ibu dan anak di layar, Nad berusaha membina keserasian dengan pelakon cilik Mateen, yang memegang watak Raiqal, sejak hari pertama penggambaran. Nad memuji kehebatan Mateen yang disifatkannya sangat berbakat dan banyak membantu menjayakan babak-babak emosi bersama.

Drama Bahagia Yang Tertangguh turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida dan Adrean Mateen.

Saksikan drama penuh emosi Bahagia Yang Tertangguh di Astro Ria menerusi slot Megadrama bermula 17 November ini.