Ketika suhu mula menurun menandakan ketibaan musim sejuk bakal tiba di Syria, Syria Care meneruskan komitmennya dalam misi kemanusiaan global dengan melancarkan kempen Winter Aid 13.0. Kempen ini menyasarkan bantuan kepada komuniti rentan di Syria dan pelarian Syria di Lubnan yang bakal berdepan dengan musim sejuk yang semakin hampir, satu ujian yang bukan sahaja mengancam keselesaan tetapi juga nyawa jika tiada persediaan yang cukup.
Kempen Winter Aid 13.0 ini digerakkan dari 26 September hingga 31 Disember 2025. Syria Care memfokuskan tiga jenis bantuan iaitu bahan bakar seperti diesel, kayu api, briket zaitun serta pakaian musim sejuk bagi mengurangkan beban dan menyediakan persediaan buat rakyat Syria menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Di bawah Winter Aid, inisiatif Warm Their Winter (Projek Pengumpulan Pakaian Musim Sejuk) menjadi kempen teras tahunan Syria Care sejak tahun 2013 yang bertujuan menyediakan perlindungan dan kehangatan kepada saudara di Syria. Projek ini akan berlangsung pada 22 Oktober hingga 26 Oktober 2025 bertempat di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam. Syria Care menyasarkan pengumpulan dan penghantaran bantuan musim sejuk dalam bentuk pakaian tebal, jaket, selimut, kasut dan barangan lain yang sangat diperlukan semasa musim sejuk.
Setakat ini, sebanyak 17 kontena bantuan telah dihantar ke Syria dan Lubnan. Untuk tahun ini, dua kontena bersaiz 40 kaki disasarkan bagi memuatkan 1,584 kotak bantuan musim sejuk seberat 10 hingga 15 kilogram setiap satu. Bantuan ini dijadualkan dihantar melalui jalan laut dan dijangka mengambil masa selama 50 hari untuk tiba ke Pelabuhan Latakia, Syria.
Apa yang lebih menyentuh hati, bantuan kali ini mampu memberi manfaat kepada lebih 12,000 individu, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat sejak 2013 mencecah sekitar 250,000 orang.
Lebih daripada sekadar misi bantuan, Winter Aid 13.0 adalah simbol solidariti rakyat Malaysia kepada saudara kita yang terpinggir akibat konflik perang yang berpanjangan. Bantuan yang dihantar bukan sahaja memastikan kehangatan dan keselesaan, tetapi juga membantu melindungi nyawa daripada risiko maut akibat kesejukan melampau, sesuatu yang menjadi kebimbangan utama setiap kali musim sejuk menjelma di kawasan seperti Syria dan Lubnan.
Kempen ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP Zon 3) serta kerjasama erat rakan strategik Syria Care seperti HUMAM Relief dan Pertubuhan Ihsanku Malaysia.
Bagi menampung kos logistik dan operasi keseluruhan projek Warm Their Winter, Syria Care menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000. Oleh itu, Syria Care merayu kepada orang ramai, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menjayakan misi kemanusiaan ini.
“Musim sejuk di Syria bukan hanya cabaran cuaca, tetapi satu ujian kehidupan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal dan keselamatan. Melalui kempen ini, kami ingin menyampaikan bukan sahaja pakaian, tetapi juga rasa kasih sayang, keselesaan dan harapan dari rakyat Malaysia,” kata Siti Sakinah binti Meor Omar Baki, Pengerusi Syria Care.
Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, akan membawa makna besar buat mereka yang sedang bergelut menghadapi musim sejuk tanpa persediaan sempurna.
Sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank Syria Care 562106653575 atau menerusi laman sesawang syriacare.org.my/winteraid.