Suara Kemanusiaan yang Tercalar: Kekejaman Tanpa Batas di Sebalik Sebuah Filem

Itulah ungkapan ringkas namun sarat makna yang dilontarkan oleh Datuk Yusof Haslam sebaik melangkah keluar dari pawagam selepas menonton The Voice of Hind Rajab, sebuah karya yang merakam sisi paling getir konflik kemanusiaan melalui pendekatan yang jarang digunakan, iaitu penggunaan suara sebenar daripada rakaman asal. Menurut beliau, tragedi yang dipaparkan bukan sekadar kisah untuk ditonton, sebaliknya satu seruan kesedaran kepada semua. Beliau turut mengajak orang ramai untuk membantu rakyat Palestin melalui apa jua bentuk sokongan yang termampu, sambil menyifatkan filem ini sebagai peringatan tentang tanggungjawab kemanusiaan yang tidak wajar dipandang ringan.

Mengangkat kisah benar Hind Rajab, The Voice of Hind Rajab membawa penonton menyelami detik-detik cemas yang sebelum ini hanya disaksikan sepintas lalu menerusi media sosial. Namun kali ini, pengalaman tersebut dihadirkan secara lebih dekat dan peribadi di layar perak, menjadikannya satu pengalaman emosi yang kuat dan menyesakkan dada.

Keberanian pendekatan ini turut mendapat perhatian pengarah tersohor, Usamah Zaid, yang meluahkan rasa kagum terhadap pasukan produksi. Beliau mengakui tidak dapat membayangkan cabaran yang perlu ditempuhi sekiranya diberi amanah menghasilkan filem seumpama ini, selain menzahirkan rasa hormat terhadap semua yang terlibat di belakang tabir, khususnya dalam mengendalikan kisah sebenar yang memerlukan kehalusan serta sensitiviti tinggi.

Pelakon Zahiril Adzim pula melihat filem ini dari sudut pengalaman penonton. Menurutnya, meskipun paparan pengeboman dan kemusnahan sering dilihat di media sosial, filem ini berjaya membuatkan penonton benar-benar ‘duduk’ dalam situasi kecemasan tersebut. Rasa cemas, takut dan tidak berdaya digambarkan dengan begitu berkesan sehingga meninggalkan kesan mendalam.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Shera Aiyob yang terkesan dengan ketabahan seorang ibu dalam situasi paling menyayat hati. Beliau meluahkan rasa kagum terhadap ketenangan ibu kepada Hind Rajab yang masih mampu memberikan kata-kata positif walaupun berdepan keadaan yang amat mencemaskan, menyifatkan detik tersebut sebagai antara momen paling menyentuh perasaan dalam filem ini.

Bagi pempengaruh media sosial, Nyna Bukater, pengalaman menonton The Voice of Hind Rajab jauh lebih mendalam daripada sekadar mengetahui kisahnya. Walaupun pernah mengupas kisah Hind Rajab di media sosial, peluang untuk mendengar sendiri suara daripada rakaman asal membuatkan emosinya tidak tertahan. Menurutnya, pengalaman tersebut benar-benar meruntun hati dan menyentuh perasaan, malah menyemarakkan lagi semangat untuk terus menjadi suara kepada mereka yang selama ini tidak didengari.

Secara keseluruhan, The Voice of Hind Rajab membuktikan bahawa satu suara yang kecil mampu menggoncang jiwa dan memaksa dunia berhenti seketika untuk mendengar. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu seruan kemanusiaan yang mengangkat nilai empati, tanggungjawab dan keberanian untuk tidak terus berpaling daripada realiti yang sedang berlaku. Filem ini kini ditayangkan di pawagam terpilih, bukan hanya untuk ditonton, tetapi untuk didengar dan dirasai.