Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan dua platform inovatif, SSM Search dan SAFEDATA-SSM, yang dirancang untuk memudahkan akses kepada maklumat korporat secara dalam talian. Platform-platform ini bukan sahaja mempermudah akses kepada maklumat entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM, tetapi juga memastikan bahawa orang awam dapat memperoleh maklumat yang tepat dan pantas. Ini adalah langkah penting dalam membantu masyarakat membuat keputusan yang berinformasi ketika berurusan dengan entiti perniagaan di Malaysia.
Dengan penambahan SSM Search dan SAFEDATA-SSM, SSM kini menawarkan empat saluran yang memperluas capaian dan kemudahan kepada orang awam serta pihak berkepentingan. Sebagai agensi utama dalam pemerbadanan syarikat, pendaftaran perniagaan, dan perkongsian liabiliti terhad (PLT), SSM juga bertanggungjawab memastikan maklumat mengenai entiti perniagaan yang berdaftar dapat diakses dengan mudah oleh semua pihak yang berkepentingan.
Sejak 2006, evolusi pembekalan maklumat oleh SSM bermula dengan pelancaran Portal SSM e-Info yang menyediakan maklumat entiti perniagaan secara dalam talian. Pada tahun 2016, Portal MYDATA SSM diperkenalkan, memperluaskan lagi akses kepada maklumat tersebut. Dari 2019 hingga 31 Julai 2024, lebih daripada 26.4 juta transaksi telah direkodkan melalui Portal SSM e-Info dan MYDATA-SSM, dan angka ini dijangka terus meningkat dengan pengenalan platform terbaru ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi SSM, Tuan Ahmad Sabki Yusof, menekankan bahawa jumlah transaksi yang tinggi ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan terhadap platform-platform maklumat SSM, dan beliau optimis bahawa kepercayaan ini akan terus berkembang dengan inovasi terkini ini.
“Melalui portal-portal ini, pelanggan bole mendapatkan 37 jenis produk SSM, termasuk profil perniagaan, profil syarikat, maklumat kewangan syarikat dan salinan sijil pendaftaran perniagaan.
“Saya berharap platform-platform ini akan terus menjadi sumber rujukan utama bagi maklumat entiti-entiti perniagaan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Platform Baharu Pembekalan Maklumat Korporat SSM & Majlis Perasmian SSM BizDay 2024 yang diadakan di Mydin Wholesale Hypermarket, Subang Jaya, dengan kehadiran lebih 600 peserta.
SSM BizDay 2024 dianiurkan untuk memperkenalkan dan menawarkan produk serta perkhidmatan SSM, mendapatkan maklum balas pelanggan, meningkatkan tahap pematuhan perniagaan serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti perniagaan dan SSM.
Tuan Ahmad Sabki turut menggesa para peserta untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh SSM melalui program ini, dengan mendaftarkan perniagaan mereka untuk memastikan ia sah di sisi undang-undang.
Sehingga 31 Julai 2024, terdapat 677,351 syarikat, 1,659,838 perniagaan, dan 35,821 PLT yang aktif dalam daftar SSM.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) melalui bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, Live Chat SSM di portal rasmi SSM, talian 03-7721 4000 atau emel enquiry@ssm.com.my.