‘SKUAD DIDIK DuitNow GEN E-DUIT’

Bengkel wartawan penyiaran celik kewangan PayNet dan DIDIKTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – SKUAD PEMBELAJARAN WANG E-WANG GEN DuitNow – berakhir pada 11 Mac 2023 di Sri Pentas, Bandar Utama dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Bengkel ini menjadi sesi penghakiman terakhir untuk 30 finalis terpilih berumur 10 hingga 16 tahun. Kempen yang bermula pada 10 Disember 2022, di Karnival Jom Heboh di Puteri Harbour, Johor Bahru, telah menerima lebih 400 penyertaan.

Kempen SKUAD DIDIK DuitNow GEN E-DUIT merupakan hasil kolaborasi Kumpulan Media Prima dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melalui DIDIKTV KPM. Objektif program ini adalah untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan celik kewangan, terutamanya literasi pembayaran digital, selaras dengan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan Malaysia. Penekanan mengenai kelebihan pembayaran digital yang selamat, senang dan segera turut dikongsikan.

Strategi utama kempen ini adalah untuk mendidik, memupuk kesedaran dan memperkasakan kanak-kanak tentang pendidikan kewangan dengan cara yang menyeronokkan, memberi pendekatan yang mudah dan senang difahami melalui bengkel kewartawanan TV yang menarik!

Penyertaan yang diterima melalui video ‘Duet Challenge’ di platform media sosial TikTok sangat menggalakkan sehingga tarikh tamat penyertaan dilanjutkan kepada 15 Februari lalu. 30 finalis terbaik yang dipilih, diberikan pendedahan untuk menyelami pengalaman sebagai wartawan penyiaran muda dengan menyertai Bengkel SKUAD DIDIK DuitNow GEN E-DUIT.  Hasil dari penilaian tugasan pertama atau tugasan wajib video duet yang dihantar, membawa markah 40 peratus.  Mereka sekali lagi diberikan satu lagi tugasan ‘Homework’ iaitu menerbitkan video berlandaskan informasi kewangan dan penyelidikan produk PayNet yang membawa markah 20 peratus.  Seterusnya, baki 40 peratus lagi dari jumlah keseluruhan 100 peratus , dinilai di Bengkel pada hari ini.  Pemarkahan diberi berdasarkan personaliti dan penampilan diri, kemahiran komunikasi, penglibatan finalis dalam sesi dengan mentor dan pergaulan bersama  rakan-rakan serta persediaan diri  tentang maklumat kewangan.

Bengkel ini dihoskan oleh Shaun Stephen, pengacara DIDIKTV KPM,  menampilkan empat sesi dengan topik-topik yang berlainan bersama mentor dan panel yang berkaliber di bidang masing-masing. Setiap sesi mempunyai aktiviti yang menarik berdasarkan topik yang disampaikan. Peserta turut berpeluang untuk melakukan aktiviti yang disediakan bersama pengacara dan pembaca berita yang berpengalaman luas di Rangkaian Televisyen Media Prima. Bengkel tersebut juga diserikan dengan kehadiran Encik Seelan Paul, Ketua Pegawai Eksekutif, NTV7 (DIDIKTV KPM) dan Encik Khairuan Abdul Rahman, Pengarah Kanan, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd.

Berikut merupakan 4 sesi bengkel yang diaturkan :

Modul 1: Disebalik Tabir Produksi & Lawatan Studio

Bersama En Hafizan (Penerbit Teknikal), Azaria Tagaya dan Muhammed Ahmad Hamdan (Pengacara Money Matters dan Penyampai Berita Buletin Utama TV3)

Modul 2: Revolusi Sistem Kewangan

Bersama Faiz Azmi (Financial Faiz (Pempengaruh Media Sosial)

Modul 3: Kualiti & Gaya Pengacaraan Televisyen

Bersama Fiza Sabjahan (Hos Wanita Hari Ini, TV3)

Modul 4: Menangani Krisis dan Kritikan dan Buli Cyber sebagai Selebriti dari Perspektif Media dan Masyarakat

Bersama Sudirman Mohd Tahir (Wartawan Harian Metro)

30 finalis berjaya menarik perhatian juri sehingga ke peringkat akhir. Johan (Muhammad bin Mohammad Yassir, 15 tahun, Kuala Lumpur) membawa pulang wang e-tunai berjumlah RM2,000.00. Tempat kedua (Thannya Laxhmi Rohan, 16 tahun, Selangor) membawa pulang wang e-tunai RM1,000.00, sementara tempat ketiga (Mohar Idris Bin Mohar Mustaqeem, 13 tahun, Selangor) menerima e-tunai berjumlah RM500.00. Peserta yang tidak berjaya juga akan menerima hadiah saguhati e-tunai berjumlah RM200.00 setiap seorang. Kesemua finalis turut menerima sijil penyertaan beserta barangan eksklusif dari SKUAD DIDIK DuitNow GEN E-DUIT.

Pemenang utama (Johan) turut diberi peluang mengasah bakat sebagai wartawan penyiaran sebenar yang mana pemenang akan bersama-sama krew Buletin DIDIK (rancangan Berita DIDIKTV KPM)  membuat sebuah laporan khas di dalam slot berita Buletin DIDIK.  Laporan khas yang dibuat ini akan disiarkan di dalam Buletin DIDIK pada  31 Mac 2021, jam 7.00malam.

Siaran langsung atau ‘LIVE’ Bengkel pada hari Sabtu telah strim langsung menerusi Facebook DIDIKTV KPM di www.facebook.com/DididkTVOfficial dan perjalanan bengkel SKUAD DIDIK DuitNow GEN E-DUIT ini turut dirakam sepenuhnya dan akan disiarkan di saluran DIDIKTV KPM pada 31 Mac 2023, jam 7.30 malam hanya di saluran ntv7 (DIDIKTV KPM).

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.xtra.com.my/skuaddidik dan jangan lupa untuk gunakan #SKUADDIDIKDuitNow untuk menghangatkan perbualan di laman media sosial!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *