Simpan SSPN Perkasa Masa Depan Anak-anak di Edutainment Fest 2024

sspn

Portal majalah terkemuka seperti Pa&Ma, Bintang Kecil, dan Keluarga di bawah Nu Ideaktiv dengan penuh bangga mempersembahkan Edutainment Fest Simpan SSPN.

Program ini adalah gabungan unik pendidikan dan hiburan, yang menawarkan pengalaman menarik serta bermanfaat. Dengan kerjasama rapat daripada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), festival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan kewangan dan simpanan untuk pendidikan masa depan anak-anak.

Festival yang penuh dengan keceriaan ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga platform yang kukuh untuk menyampaikan mesej penting mengenai kepentingan merancang masa depan pendidikan melalui simpanan yang bijak. Festival ini berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos 2024 di Pusat Beli-belah Datum Jelatek, bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang, dan berjaya menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang dengan teliti, memberi peluang kepada ibu bapa dan kanak-kanak untuk belajar dan berkembang dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada perkembangan minda dan kemahiran kanak-kanak, tetapi juga menggalakkan ibu bapa untuk merancang kewangan anak-anak melalui sokongan SSPN.

Sorotan Utama Edutainment Fest:

Himpunan & Perarakan Mega Merdeka: Kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun tampil ceria dalam perarakan yang penuh warna-warni, berpakaian seragam pelbagai warna untuk merayakan Hari Kebangsaan dengan semangat yang membara. Acara ini menambah keceriaan sambutan merdeka dengan suasana yang mesra kanak-kanak.

Majlis Pelancaran Edutainment Fest: Pelancaran festival ini menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan anak-anak. Disokong penuh oleh Simpan SSPN, ia turut disempurnakan oleh Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN. Pelancaran ini menggariskan komitmen SSPN dalam melahirkan generasi yang cemerlang melalui perancangan kewangan pendidikan yang mantap.

Pertandingan Mewarna Mega: Aktiviti yang menghimpunkan lebih daripada 1,000 peserta kanak-kanak ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak untuk menonjolkan kreativiti mereka, malah pemenang utama akan membawa pulang akaun Simpan SSPN dan set mewarna eksklusif. Semua peserta juga akan menerima medal dan sijil sebagai penghargaan penyertaan.

Merdeka Kids Marathon Catwalk: Kanak-kanak seawal usia 1 hingga 3 tahun mempersembahkan kreativiti mereka di atas pentas dalam acara catwalk yang menghiburkan. Sepuluh peserta terbaik akan menerima akaun Simpan SSPN dan baucar istimewa, manakala dua puluh peserta lain akan diberikan hadiah saguhati.

Penampilan Istimewa Catfluencer: Pengunjung festival berpeluang bertemu dengan kucing-kucing popular di Malaysia bersama pemiliknya. Selain itu, sesi interaktif mengenai penjagaan kucing turut diadakan, memberikan pengalaman unik buat pencinta kucing.

Borak Pa&Ma Edutainment Fest: Sesi perbincangan bermanfaat bersama selebriti popular seperti Syamel dan Ika Nabella mengenai kepentingan simpanan keluarga dan pengurusan kewangan. Pengunjung diberi peluang mempelajari pelbagai tips praktikal untuk merancang kewangan keluarga dengan lebih baik.

Bayi Marathon Race: Pertandingan maraton bayi ini melibatkan peserta yang perlu mengharungi pelbagai halangan comel seperti terowong merangkak dan cabaran mencari barang misteri. Aktiviti ini direka khas untuk memberi keseronokan kepada bayi-bayi yang turut serta.

Konsert Meletop Bintang Kecil: Kanak-kanak prasekolah diberi peluang untuk menonjolkan bakat mereka dalam konsert ini. Platform ini memberi ruang kepada mereka untuk mengekspresikan diri dan meningkatkan keyakinan sosial melalui persembahan seni yang menyeronokkan.

Putaran Roda Istimewa Edutainment Fest Simpan SSPN: Pengunjung yang membuat pembukaan akaun baharu atau penambahan ke akaun Simpan SSPN berpeluang memutar roda untuk memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk akaun SSPN bernilai RM1,000, baucar penginapan, basikal, car seat, mainan dan pelbagai lagi hadiah istimewa.

Para selebriti terkenal seperti Uyaina Arshad, Syamel, Haziq Hussni, Mark Adam, Ika Nabella, dan Dr. Tengku Asmadi turut memeriahkan festival ini, menambahkan lagi daya tarikan dan kemeriahan kepada para pengunjung yang hadir.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, “Kami amat berbangga dapat menganjurkan Edutainment Fest ini. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar melalui aktiviti yang menyeronokkan. Sokongan daripada SSPN menjadikan program ini lebih bermakna dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan pendidikan.”

Wan Erni Liza, Editor Pengurusan, turut berkongsi, “Edutainment Fest adalah bukti dedikasi kami dalam menyediakan kandungan yang mendidik dan menghiburkan. Kami yakin festival ini akan membantu kanak-kanak mengembangkan potensi mereka sambil menyedarkan ibu bapa tentang perancangan kewangan yang lebih baik untuk masa depan.”

Dengan sokongan padu daripada SSPN, festival ini berjaya memberi pengalaman yang bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat, sekali gus mengukuhkan hubungan antara hiburan dan pendidikan dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *