
Gabungan hiburan dan nilai kemanusiaan sekali lagi diterjemahkan menerusi penganjuran Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0), sebuah acara amal yang diteruskan hasil kerjasama antara Nizam Laksamana Production dan Zara Event Management. Memasuki edisi kelima selepas kejayaan siri Showcase Amal Artis Legenda sebelum ini, penganjuran kali ini tampil dengan identiti baharu yang membawa mesej kasih sayang, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Menurut penerbitnya, Zulremy Daud, pemilihan nama “Jiwa Rasa” dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap Nizam Laksamana yang sentiasa komited menjadikan dunia hiburan sebagai platform kebajikan. Sifat penyayang dan keprihatinan beliau terhadap rakan-rakan artis yang berdepan masalah kesihatan serta kesukaran kewangan, selain nasib kanak-kanak yang menghidap kanser, autisme dan merupakan golongan orang kurang upaya (OKU), menjadi inspirasi utama kepada penganjuran showcase ini. Pengalaman melihat sendiri cabaran yang dihadapi golongan tersebut telah menyuntik semangat untuk meneruskan usaha membantu mereka melalui aktiviti seni dan hiburan.
Beliau berkata, matlamat utama showcase ini adalah untuk membuktikan bahawa hiburan bukan sekadar medium persembahan, malah mampu menjadi wadah menyebarkan kasih sayang dan menggerakkan usaha kebajikan. Sebahagian hasil kutipan daripada penganjuran akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta pusat jagaan yang menguruskan anak-anak istimewa bagi membantu menampung keperluan operasi, selain meringankan beban keluarga dan penjaga mereka. Seiring dengan slogan “Dalam Hiburan Ada Kebaikan”, penganjur berharap lebih ramai pihak akan bersama-sama menyokong usaha murni ini.
Walaupun berdepan cabaran mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat, pihak penganjur tetap komited meneruskan penganjuran dengan menawarkan pakej meja pada harga yang lebih berpatutan berbanding edisi terdahulu. Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada lebih ramai individu, syarikat dan organisasi untuk menyumbang serta mengambil bahagian dalam menjayakan misi kebajikan tersebut melalui pembelian pakej yang disediakan.


Showcase kali ini bakal menampilkan persembahan daripada barisan artis terkenal seperti Tam Spider, Zamani Slam, Hazama, Haiza, Azmani dan UNIC yang tampil secara sukarela selepas memahami matlamat sebenar penganjuran. Menurut Zulremy, masih ramai rakan artis yang menyatakan hasrat untuk turut serta, namun penyertaan terpaksa dihadkan atas faktor pengurusan dan kelancaran perjalanan persembahan. Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Noah Grand Ballroom, Melawati, Kuala Lumpur, bermula jam 8.00 malam, manakala tiket kini boleh didapati menerusi platform Ticket2U.








