Seoul Cinta: Takdir dan Rahsia yang Menyatukan Dua Hati

Di kota Seoul yang menjadi saksi berjuta kisah cinta, dua hati bertemu dalam takdir yang tidak pernah mereka bayangkan. Bila rahsia mula terbuka, adakah dua jiwa itu masih seindah seperti yang mereka percaya? Drama baharu slot Akasia, Seoul Cinta, menjanjikan kisah cinta moden yang penuh emosi dan rahsia, menggambarkan realiti masa kini dalam dunia yang tampak sempurna tetapi menyimpan pelbagai rasa dan dilema di sebaliknya.

Drama romantik ini menampilkan 13 episod penuh emosi, dibintangi oleh Fitri Farok, Siti Khadijah, Cahaya Nilam dan Muaz Zabir. Setiap episod membawa penonton menyelami perjalanan dua hati yang terperangkap antara cinta, rahsia dan pilihan hidup. Saksikan Seoul Cinta bermula 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Seoul Cinta dibintangi oleh Fitri Farok sebagai Daniel Khalil, seorang usahawan muda yang tampan, berkarisma dan berprinsip tinggi soal cinta. Di sebalik kejayaannya, Daniel berpegang pada impian untuk mencari pasangan sempurna yang sepadan dengan dirinya. Siti Khadijah Halim pula memegang watak Azra, gadis sederhana yang bekerja di sebuah hotel kucing, namun tanpa disangka, dia sebenarnya ialah Kiki, pempengaruh masakan terkenal yang diam diam menjadi pujaan rahsia Daniel sendiri.

Dalam diam, Daniel menjadi pengikut setia Kiki di media sosial, terpikat dengan keikhlasan dan pesonanya tanpa menyedari bahawa sosok yang sering menginspirasikan dirinya sebenarnya berada dekat di depan mata, bekerja sebagai penjaga kucing kesayangannya di sebuah hotel kucing. Azra menyembunyikan identitinya sebagai Kiki kerana kurang yakin terhadap diri sendiri dan bimbang dianggap tidak cukup sempurna untuk lelaki seperti Daniel.

Ujian sebenar bermula apabila Daniel menjalinkan hubungan bersama Raisha lakonan Cahaya Nilam, seorang selebriti glamor yang sarat sikap diva, sementara Azra ditekan untuk menerima pinangan Lukman lakonan Muaz Zabir, lelaki yang telah lama menyimpan perasaan terhadapnya. Pergolakan hati, rahsia yang tersimpan dan perjalanan mereka ke Seoul membuka lembaran baharu yang penuh liku dan emosi. Adakah Daniel mampu melihat cinta sejati yang selama ini berada di hadapan matanya atau dia akan terus terperangkap dalam ilusi kesempurnaan yang diciptanya sendiri?

Menurut Fitri Farok, watak Daniel Khalil mewakili ramai individu moden yang kelihatan berjaya di luar namun masih mencari makna dalam diri. Watak ini mengajar bahawa cinta sejati bukan tentang status atau kesempurnaan, tetapi tentang kejujuran, penerimaan dan keberanian untuk mengenal diri apa adanya.

Drama ini membawa penonton menyelami kisah cinta yang indah dan menyentuh jiwa, dengan sinematografi memukau berlatarkan keindahan kota Seoul yang romantik. Setiap episod menjanjikan detik detik yang manis, menghibur dan sarat nilai tentang cinta, kejujuran serta erti kebahagiaan sebenar.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Seoul Cinta mulai 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.