Apabila kasih yang selama ini dianggap suci diselimuti dendam, kehidupan mereka mula retak sedikit demi sedikit. Rahsia lama yang tertimbus akhirnya muncul kembali, mencetuskan ketegangan yang menggoncang seluruh keluarga. Sumpah Ibuku, drama baharu di slot Akasia TV3, membuka tirai kepada sisi gelap di sebalik kasih sayang, kepercayaan dan pengkhianatan. Ia bukan hanya tentang pertentangan antara menantu dan ibu mentua, tetapi sebuah perjalanan emosi tentang pengorbanan, penebusan dan sejauh mana cinta mampu bertahan apabila diuji dari setiap arah.
Drama ini mula bersiaran pada 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3. Episod baharu turut boleh ditonton di iQIYI sejam selepas siaran TV, melalui laman web atau aplikasi di Google Play dan App Store.
Sumpah Ibuku menampilkan barisan pelakon popular seperti Izara Aishah, Datuk Remy Ishak, Liza Abdullah, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly. Setiap watak membawa emosi tersendiri, dengan dendam dan pengorbanan yang menguji kekuatan keluarga serta hubungan sesama mereka.
Kisah ini berpusat pada Husna (Izara Aishah), seorang ibu tunggal yang tabah dan penuh keteguhan hati. Dia kembali bersatu dengan cinta lamanya, Hadith (Datuk Remy Ishak), namun kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila ibu mentuanya, Che Yam (Liza Abdullah), menolak kehadirannya. Che Yam yang penuh dendam dan muslihat bersekongkol dengan Syafiqah (Zara Zya) untuk menghancurkan rumah tangga Husna.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Husna tetap setia menjaga bapa mentuanya yang lumpuh hingga ke akhir hayat. Namun fitnah demi fitnah akhirnya meretakkan kasih Hadith terhadap isterinya, memaksa Husna pulang ke kampung. Di sana, dia bertemu Nurul Iman (Syad Mutalib), yang membantunya membongkar kejahatan Che Yam dan Syafiqah. Usaha itu membuktikan bahawa kasih yang ikhlas tidak mudah lenyap walau ditenggelami kebencian.
Izara Aishah turut berkongsi pengalamannya membawa watak Husna. “Sumpah Ibuku ialah cerminan realiti yang ramai terpaksa hadapi. Watak Husna yang banyak melalui cabaran membentuk dirinya menjadi lebih kuat dan matang. Pada saya, dia mewakili wanita moden yang tahu menjaga maruah diri.”
Jangan terlepas menyaksikan Sumpah Ibuku mulai 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3. Episod baharu juga boleh ditonton di iQIYI satu jam selepas tayangan TV melalui laman web atau aplikasi iQIYI.
Untuk perkembangan terkini drama-drama kegemaran anda, ikuti TV3 di Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok @TV3Malaysia serta akaun rasmi Drama Sangat di @dramasangat.