Bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia meraikan kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di sembilan lapangan terbang utama di seluruh negara, termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.
Majlis utama telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, yang berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut hadir ialah YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, serta YBrs. Encik Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia.

Susulan sambutan Tahun Baru Cina pada Februari lalu, siri program perayaan ini terus menonjolkan kekayaan budaya dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Para pelawat yang tiba disambut dengan cenderamata perayaan di balai ketibaan dan turut dijemput menikmati juadah tradisional Hari Raya Aidilfitri sebagai cerminan warisan budaya negara serta hospitaliti mesra Malaysia Truly Asia.
Suasana sambutan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Melayu bertemakan Aidilfitri, termasuk kemunculan maskot VM2026, Wira dan Manja. Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti demonstrasi mengacau dodol tradisional serta gimik membuka lemang, yang merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.
Program ini direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi di bawah MOTAC, syarikat penerbangan, persatuan industri pelancongan serta rakan korporat seperti Malaysia Airport Sdn. Bhd., Batik Air, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Spritzer Berhad, Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, LaKanVo Premium, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., BOH Plantations Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Watson Personal Care Stores Sdn. Bhd., Gamuda Berhad, Grab Holdings Limited, Oriental Kopi Holdings Berhad, Photobook Worldwide, Vanzo Holdings Berhad, Fiscor Food Sdn. Bhd., My Blockchain Infrastructure Sdn. Bhd., ZUS Coffee, TBH Wellness Sdn. Bhd., Kek Lapis Warisan Sdn. Bhd., Kraftangan Malaysia serta Borneo Empurau Farm & Resort. Kerjasama ini mencerminkan sokongan padu semua pihak dalam memperkukuh promosi industri pelancongan negara serta meningkatkan pengalaman pelawat sempena VM2026.
Sebagai pintu masuk utama negara, KLIA dijangka menerima kemasukan pelawat yang tinggi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pada pagi ini sahaja, dianggarkan sebanyak 28 penerbangan antarabangsa membawa kira-kira 5,000 penumpang dari pelbagai destinasi termasuk Singapura, Jakarta, Manila, Beijing, Chengdu, Shanghai, Perth, Dubai, Brunei dan Istanbul. Unjuran peningkatan ini selaras dengan momentum Kempen Melawat Malaysia 2026 yang sedang giat dipromosikan.
Penganjuran aktiviti perayaan di lapangan terbang merupakan antara strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah VM2026 bagi memberikan pengalaman ketibaan yang bermakna, memperkukuh penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi berbudaya, selamat dan mesra pelawat. Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini juga membantu meninggalkan kesan positif kepada pelawat sekali gus menggalakkan kunjungan berulang.
Melalui penganjuran sambutan perayaan ini, Tourism Malaysia terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat global sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia selaras dengan objektif VM2026 serta menyokong pembangunan mampan sektor pelancongan negara.