Sebuah lagi drama penuh emosi yang menyentuh hati penonton kini menghiasi kaca televisyen. Rumah Tanpa Luka, terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios, mula bersiaran di Astro Ria pada 1 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam. Drama arahan Nur Ain Sharif ini menampilkan isu yang dekat dengan masyarakat kisah seorang kanak-kanak istimewa penghidap Down Syndrome yang tidak diingini oleh ibu bapanya sendiri.
Selain mengetengahkan isu pengabaian anak istimewa, drama ini juga menyentuh realiti kehidupan anak perempuan sulung yang sering memikul tanggungjawab sebagai pengganti ibu bapa. Ia menjadi naskhah pertama yang menggandingkan Erysha Emyra bersama dua pelakon popular, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar.
Bagi Nadhir yang membawa watak antagonis Hayden Hayyan, tajuk Rumah Tanpa Luka sendiri adalah metafora kehidupan. “Kita tahu setiap rumah pasti ada lukanya walau sedikit. Kalau nak tahu sejauh mana, kena saksikan drama ini,” katanya. Hayden dilabel penonton sebagai watak ‘red flag’, meskipun menurut Nadhir, karakter itu seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Watak penuh emosi ini menuntut Nadhir mengawal turun naik perasaan yang tidak dijangka sepanjang episod.

Sementara itu, Shukri Yahya membawakan watak Qiuzi atau Q, seorang mekanik yang sebenarnya memiliki lima bengkel kereta. Tidak seperti kebiasaan drama yang sering memaparkan lelaki curang atau kaki pukul, Qiuzi digambarkan sebagai ‘green flag’ lelaki idaman ramai wanita. “Dia easy going, humble, setia, malah tak pandai mengorat. Watak ini lain daripada yang selalu ditonton,” jelas Shukri.
Kedua-dua pelakon turut berkongsi pengalaman manis berlakon dengan Naura Arissa, kanak-kanak istimewa yang memegang watak Rose Ameena. Rose digambarkan sebagai anak yang lahir tidak diingini, dianggap sial oleh keluarganya, namun sebenarnya memiliki jiwa besar. “Senang bekerja dengan Naura kerana dia sangat memberi. Cuma perlu jaga hatinya agar tidak takut atau terkejut,” ujar Shukri. Nadhir pula menyifatkan bekerja bersama Naura bukan cabaran tetapi berkat, kerana anak kecil itu mampu memahami suasana set dan tahu bila masa beraksi.
Rumah Tanpa Luka menjanjikan permainan emosi yang mendalam buat penonton. Kisah Kalsum yang berkorban menjaga Rose meskipun dibuang keluarga, hadirnya Qiuzi yang memberi sinar baharu, dan kemunculan semula Hayden Hayyan menjadi titik konflik utama jalan cerita.
Antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan drama ini ialah Hajjar, Kismah Johar, Ziela Jalil, Syean Mokhtar, Hafreez Adam, Yuna Rahim, Hanan Adraa, Zaefrul Nordin, Aziz M. Osman, Rasya Dean dan Raja Azmi. Drama ini turut boleh distrim di Astro On Demand dan Sooka.