Di sebalik kilauan cinta, tersimpan racun yang tidak terlihat. Begitulah kisah yang dibawa menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu yang penuh dengan konflik di platform Tonton, membongkar sisi gelap cinta di sebalik glamor dunia hiburan. Arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima, drama ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, menjanjikan perjalanan sarat emosi serta permainan psikologi yang mendalam.
Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima menampilkan sisi evolusinya sebagai penerbit dan penulis yang kini lebih berani menyelami gelapnya psikologi manusia. Dengan gaya penceritaan penuh emosi dan realiti kehidupan yang menjadi identiti karyanya, Toksik Cinta mengupas batas antara cinta dan obsesi serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh berubah menjadi racun yang memusnahkan.
Menampilkan barisan pelakon berkarisma seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, Toksik Cinta hadir dengan naskhah penuh emosi dan konflik yang mendalam. Drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton.
Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem ternama yang berkenalan dengan Karmila (Riena Diana), pempengaruh dan pelakon meningkat naik di set penggambaran. Cinta mereka berputik hingga ke jinjang pelamin, namun segalanya musnah apabila Karmila memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah. Toksik Cinta bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi membawa penonton menyelami batas antara cinta dan obsesi, mangsa dan pemangsa, serta kebenaran dan persepsi.
Mengulas mengenai wataknya, Riena Diana berkata, “Masa saya bawakan watak Karmila, saya betul-betul cuba faham dari mana datangnya luka dia. Karmila ini bukan sekadar wanita yang keliru, tetapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya oleh lelaki. Dia datang daripada keluarga yang berantakan dan semua pengalaman itu membuat dia keras luarannya tetapi rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya adalah kisah tentang hidup Karmila yang berliku dan penuh ujian, bagaimana cinta dan luka silam mengubah cara dia melihat dunia.”
Secara keseluruhannya, Toksik Cinta bukan sekadar kisah cinta atau konflik rumah tangga, tetapi cerminan kepada realiti sosial yang jarang didedahkan tentang bagaimana kasih boleh bertukar menjadi bayang yang menghantui apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki. Ia mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya mangsa dan siapa pemangsa dalam hubungan yang penuh luka dan manipulasi.
Langgan TontonUp selama tiga bulan dan nikmati ganjaran istimewa menerusi Tonton Rewards. Sebagai tanda penghargaan buat pelanggan setia, anda berpeluang menebus baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 serta baucar Baskin-Robbins bernilai RM10. Rasai kelazatan hidangan dan manisan sambil terus menikmati drama, filem dan rancangan kegemaran anda di Tonton. Lebih banyak anda langgan, lebih banyak ganjaran menanti.
Saksikan kisah penuh debaran dalam Tonton Original Series: Toksik Cinta bermula pada 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram @tontonmy.