Minggu ketujuh Raise The Star Malaysia tampil dengan tema “Master The Pieces” yang cukup mencabar kreativiti para peserta apabila mereka perlu mengadun semula dua lagu berbeza menjadi sebuah mash-up unik berwajah baharu. Malam itu menyaksikan barisan juri dan komposer ternama seperti Ajai, Ikhwan Fatanna, Audi Mok, Shila Amzah serta Aina Abdul, manakala pentas dikemudikan penuh meriah oleh hos Alif Satar dan Sherry Alhadad.
Antara persembahan yang menarik perhatian ialah Zuana dengan gandingan lagu “Kasih” nyanyian Hetty Koes Endang dan “Jangan Ada Dusta Di Antara Kita” oleh Briery Marantika serta Dewi Yull yang meraih markah 74 peratus, sekaligus mencatatkan markah tertinggi pada minggu tersebut. Pasya pula menyatukan dua karya penuh emosi, “Jangan Kau Mimpi” oleh Siti Sarah dan “Bukan Yang Pertama” nyanyian Faizal Tahir dengan catatan 72.91 peratus. Tidak kurang hebatnya, Hariz Fayahet mempertaruhkan “Imaji” ciptaan Aina Abdul bersama “Believer” milik Imagine Dragons hingga berjaya memperoleh 72.14 peratus.
Didie Shazry pula tampil dengan mash-up “Cantik” oleh Kahitna dan “Putri Iklan” dendangan ST12, mencatat markah 71.26 peratus. Rayme memilih dua karya ikonik The Beatles, “Hey Jude” dan “Let It Be”, yang memberinya markah 70.72 peratus. Sementara itu, Zury menggabungkan “Welcome to the Black Parade” daripada My Chemical Romance dengan “Lagu Untukmu” oleh Meet Uncle Hussain, mengutip 70.30 peratus.

Tidak ketinggalan, Sharee Lopes mempertaruhkan vokal penuh jiwa menerusi kombinasi “Feeling Good” oleh Nina Simone dan “It’s A Man’s Man’s Man’s World” daripada James Brown yang menyumbang markah 70.11 peratus. Keka pula memilih mash-up penuh tenaga antara “Training Season” oleh Dua Lipa dan “Don’t Stop The Music” nyanyian Rihanna, sekaligus menerima 67.58 peratus.
Aril Eles hadir dengan persembahan penuh emosi apabila menyatukan “Jealous” oleh Labrinth dengan “Writing’s on the Wall” nyanyian Sam Smith dan berjaya memperoleh 66.98 peratus. Aliff Amie pula tampil dengan gabungan “Patah Seribu” nyanyian Shila Amzah bersama “Glimpse of Us” oleh Joji, meraih 62.89 peratus.
Secara keseluruhan, minggu ketujuh menyaksikan para peserta berani mengambil risiko dengan menggabungkan karya dari pelbagai era dan genre muzik, sekali gus menghasilkan persembahan mash-up yang segar dan mengujakan. Peringkat ini jelas menjadi penentu kepada kreativiti, keberanian serta keunikan setiap peserta sebelum mereka melangkah lebih jauh menuju pentas akhir.












