Grand Brilliance Studio Sdn. Bhd. bersama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran dan pengedar, dengan bangganya memperkenalkan filem terbaharu mereka, Reeza GTR.
Menggabungkan tiga genre menarik iaitu aksi, komedi, dan romantik, filem ini dijadualkan untuk menggegarkan adrenalin penonton di seluruh Malaysia dan juga akan ditayangkan di Brunei bermula 17 Oktober 2024. Filem ini telah mendapat tajaan daripada Goodyear Malaysia dan mengadakan Malam Gala Eksklusif yang meriah di Golden Screen Cinemas, Mid Valley Megamall, dihadiri oleh barisan pelakon, kru produksi, tetamu kehormat, media, dan peminat.
Reeza GTR mengisahkan perjalanan hidup seorang mekanik biasa bernama Reeza (lakonan Alif Satar), yang berusia 30 tahun dan bekerja di bengkel stor lelongan kereta. Walaupun mempunyai ijazah dalam pengurusan perniagaan, Reeza terpaksa berhadapan dengan persaingan yang ketat dan peluang pekerjaan yang terhad. Dalam usianya yang semakin meningkat, Reeza hanya mampu berharap untuk menemukan seseorang yang menerima dirinya tanpa mengira status kerjayanya. Namun, hidupnya berubah secara drastik apabila dia menemui seorang gadis cantik, Myra (Sophia Albarakbah), yang menyorok di dalam bonet kereta yang ditariknya. Keberadaan Myra yang misteri menimbulkan banyak persoalan dalam minda Reeza. Siapakah sebenarnya gadis ini?
Pengarah filem, Dr. Ahmad Idham, yang terkenal dengan kehebatannya dalam mencipta naratif yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan impak mendalam kepada penonton, telah mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Alif Satar, Sophia Albarakbah, Noki K-Clique, Ropie, Yassin, Eizlan Yusof, Nelissa Nizam, Mas Anizan, Niezam Zaidi, Cat Farish, dan Man Raja Lawak untuk menghidupkan cerita ini. Filem ini membawa mesej penting tentang takdir dan kepercayaan bahawa walaupun manusia merancang, ketentuan Tuhan mengatasi segalanya.
“Reeza GTR” bukan sekadar sebuah filem; ia adalah sebuah perjalanan emosi yang menggambarkan bagaimana pertemuan yang tidak dijangka boleh membawa perubahan besar dalam hidup seseorang. Dr. Ahmad Idham menyatakan, “Kami ingin memastikan Reeza GTR menjadi lebih daripada sekadar hiburan. Dengan gabungan aksi, komedi, dan romantik, kami percaya filem ini akan memberikan pengalaman emosi yang mendalam kepada penonton. Barisan pelakon yang kami tampilkan benar-benar menghidupkan watak-watak ini dengan cemerlang”.
Pengarah Pemasaran Goodyear Malaysia, Michelle Wo juga berkongsi kegembiraannya tentang kerjasama ini, “Kami sangat teruja untuk terlibat dalam Reeza GTR, sebuah filem yang merayakan semangat pengembaraan dan kreativiti. Kerjasama ini menunjukkan komitmen Goodyear dalam menyokong industri hiburan tempatan. Kami berharap dapat berhubung dengan penonton dengan cara yang unik dan menarik.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Reeza GTR di pawagam berhampiran anda mulai 17 Oktober 2024. Bersiaplah untuk dibawa ke dunia penuh aksi mendebarkan dan kisah cinta yang akan membuatkan anda terpaku hingga ke babak terakhir! Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, Twitter, Instagram, serta saluran YouTube Primeworks Studios.