Peminat Setia Ejen Ali, Bersedia! Ejen Ali The Movie 2 Akan Tayang 22 Mei 2025!

Ejen Ali sekali lagi membuktikan kehebatan animasi tempatan dengan pelancaran treler rasmi keduanya hari ini, menandakan detik-detik penting menjelang tayangan Ejen Ali The Movie 2 yang akan bermula pada 22 Mei 2025. Setelah poster utama mencetuskan perbualan hangat, kini penggemar Ejen Ali boleh menantikan pengembaraan baru yang lebih mendebarkan, dengan aksi berintensiti tinggi dan emosi yang pasti menggamit jiwa.

Misi kali ini jauh lebih mencabar, dengan pertaruhan yang lebih besar dan ancaman yang semakin berani. Ali perlu menghadapinya dengan tekad yang lebih kuat dan berbekalkan teknologi canggih terbaru Sut Satria, sebuah ciptaan berasaskan kecerdasan buatan oleh agensi perisik MATA. Meskipun baru berkenalan dengan teknologi ini, Ali terpaksa menguasainya demi mempertahankan kota futuristik Cyberaya daripada ancaman musuh yang semakin menghampiri.

Gelombang sokongan dari peminat semakin terasa selepas tayangan semula Ejen Ali The Movie pada Februari 2025, didorong oleh lagu tema rasmi, “Hanya Kamu” oleh Dato’ M. Nasir, yang terus menghangatkan keterujaan. Pelbagai video treler dan teaser turut menambah semangat peminat untuk menyaksikan kepulangan Ejen Ali di layar perak.

Dalam treler kedua, peminat dibawa menyelami momen penuh emosi antara Ali dan Rizwan, bekas ejen MATA yang muncul kembali dengan agenda tersembunyi. Cabaran semakin sukar, dengan musuh lama, Neonimus, kembali untuk menuntut dendam. Ditambah dengan kehadiran Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), dinamik pasukan Ali berubah dan memerlukan strategi baru untuk mengatasi ancaman yang lebih besar.

Treler ini menghidangkan visual yang memukau, diiringi dengan alunan lagu latar yang menguatkan ketegangan setiap babak, memastikan penonton tidak sabar untuk melihat kesudahan misi kali ini. Dengan jalan cerita yang penuh konspirasi dan musuh yang semakin berbahaya, Ejen Ali The Movie 2 bakal membawa peminat menyelami dunia penuh aksi dan ketegangan di layar besar.

Pengarah Usamah Zaid Yasin berkongsi, “Kami sangat teruja dengan pelancaran treler rasmi kedua ini. Setiap detik dalam filem ini dirancang dengan teliti untuk memberikan pengalaman menonton yang luar biasa. Kami tidak sabar untuk bertemu para peminat di pawagam pada 22 Mei ini.”

Dibawakan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation, dengan kerjasama Komet Productions, Ejen Ali The Movie 2 akan menggegarkan dunia animasi tempatan dan antarabangsa. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial rasmi Ejen Ali dan Primeworks Studios!

Jangan lepaskan peluang untuk menonton treler rasmi kedua di YouTube (www.youtube.com/ejenali), TikTok (www.tiktok.com/@officialejenali), Facebook (www.facebook.com/ejenali), Instagram (www.instagram.com/ejen_ali), dan Twitter (www.twitter.com/ejen_ali). Sahut panggilan misi, Ejens! #EjenAliTheMovie2! #EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY