Sambil menikmati detik santai minum petang bersama yang tersayang, anda kini berpeluang menyumbang kepada sebuah amal jariah yang bermakna. Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diraikan sepanjang Oktober ini, Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur membawakan pengalaman istimewa menerusi “Pinktober Afternoon Tea” di Pavilions Lounge, Aras M.


Beroperasi setiap hari bermula jam 2:30 petang hingga 5:30 petang, pengalaman minum petang bertema ini menawarkan pelbagai sajian menggiurkan yang diolah dengan sentuhan warna merah jambu yang elegan. Antara tarikan utama menu termasuklah pelbagai pilihan hidangan savori yang kreatif, pastri buatan tangan yang halus, skon segar, serta pencuci mulut lazat seperti tart lemon meringue dan manisan bersalut coklat merah jambu. Lebih istimewa, hidangan ini turut diiringi pilihan minuman keistimewaan seperti Rose Tea dan Bandung Latte bagi menyempurnakan santapan petang anda di tengah-tengah kesibukan Jalan Sultan Ismail.
Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih bererti ialah misi amal yang dibawakan. Dengan kerjasama Persatuan Kesejahteraan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), sebanyak RM10 daripada setiap set “afternoon tea standard” yang terjual akan didermakan secara langsung untuk menyokong inisiatif kesedaran kanser payudara.
Bagi mereka yang ingin memberikan sokongan lebih besar, kemuncak kempen ini akan menyaksikan acara khas bersempena “The Pink Affair” pada 30 Oktober 2026, di mana 100% hasil jualan set minum petang pada hari tersebut akan disumbangkan sepenuhnya kepada BCWA.
Bawa bersama rakan-rakan atau keluarga tersayang untuk menikmati suasana lounge yang mewah, selesa dan penuh keprihatinan sebelum kempen ini melabuhkan tirainya pada 31 Oktober 2026. Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau tempahan meja, anda boleh menghubungi pihak hotel di talian +603 2717 9977 atau menerusi WhatsApp di +6014 969 0709.














