KUALA LUMPUR — Landskap muzik tempatan kembali diwarnai dengan kemunculan sebuah karya balada bernjiwa tinggi apabila penyanyi bervokal mantap, Black Hanifah, secara rasminya melancarkan single terbaharunya berjudul Terlerai Sudah. Terbitan syarikat rakaman terkenal Nova Music Malaysia, lagu ini memperlihatkan sisi kematangan vokal Black yang lebih mendalam, di samping membawakan penceritaan emosi yang sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat marhaen hari ini.
Mengetengahkan tema cinta yang terpaksa dikorbankan, Terlerai Sudah merungkai erti sebuah perpisahan yang menyakitkan. Menurut Black, lagu ini berkisah tentang keikhlasan melepaskan seseorang yang disayangi kerana perhubungan tersebut telah sampai ke titik penamatnya, meskipun sisa kasih sayang dan kenangan indah masih bersarang di dada. Jalan penceritaan yang jujur ini diadun kemas menerusi hasil ciptaan barisan komposer hebat iaitu Ba Ermy, Mas Dewangga, dan Jova Devito, manakala liriknya mendapat sentuhan puitis daripada Datuk Arisz Ab Rahman JP.
Meskipun sesi rakaman vokal hakikatnya hanya mengambil masa kira-kira dua jam sahaja selepas susunan muzik disiapkan, proses keseluruhan pembikinan karya ini memakan masa sehingga dua minggu. Tempoh tersebut amat penting bagi memastikan aspek teknikal seperti mixing dan mastering mencapai tahap kualiti optimum sebelum ia menemui peminat. Black menyifatkan proses kerjasama tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana setiap pencipta lagu dan penulis lirik memberikan pandangan bernas dalam usaha menterjemahkan rasa emosi agar benar-benar sampai ke lubuk hati pendengar.
Bakal menjadi siulan ramai di pelbagai platform penstriman digital, Terlerai Sudah membuktikan keupayaan Black Hanifah untuk terus relevan dan konsisten dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi. Di sebalik kejayaan besar lagu terdahulunya, Hijab Rindu, Black mengambil pendekatan positif dengan menganggap jangkaan peminat sebagai satu pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik, tanpa terikat dengan bayang-bayang kejayaan lalu.












