Nadeera Harumkan Nama Malaysia, Dipilih RTM Wakili Negara ke ABU Song Festival 2025

Penyanyi berbakat besar yang semakin mencipta nama di persada seni tanah air, Nadeera, sekali lagi melakar sejarah manis dalam kerjaya seninya apabila dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang akan berlangsung pada 13 September 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia. Pemilihan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat Nadeera, malah turut membuktikan kepercayaan tinggi pihak RTM terhadap bakat, kemampuan serta aura bintang yang dimiliki oleh artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment ini.

Di pentas berprestij tersebut, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya “Bukan Lagi Kita”, sebuah karya yang melonjakkan namanya sebagai antara vokal terbaik generasinya. Persembahan ini bukan sekadar mengangkat reputasinya sebagai penyanyi, tetapi juga memperkenalkan karya tempatan ke mata dan telinga khalayak antarabangsa. “Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya. Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025. Lagu Bukan Lagi Kita sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua,” ujar Nadeera.

Beliau turut menambah, “Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia. Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik.”

Meskipun ini bukan kali pertama Nadeera menjejakkan kaki di pentas luar negara di mana sebelum ini beliau pernah membuat persembahan di Vietnam dan Indonesia namun peluang kali ini membawa makna yang jauh lebih besar. “Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air. Kali ini, ia lebih istimewa kerana saya bakal tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis-artis hebat dari seluruh Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang banyak memberikan sokongan. “Terima kasih RTM atas kepercayaan ini, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya. Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” ujar Nadeera penuh harapan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut. “Kami amat berbangga dengan pencapaian Nadeera. Pemilihan ini membuktikan bakat vokal dan disiplin kerjayanya yang luar biasa. Kami yakin Nadeera akan mengharumkan nama Malaysia di Mongolia dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa,” kata wakil pengurusan.

ABU Song Festival merupakan acara gala tahunan tanpa pertandingan yang dianjurkan oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU). Festival ini menampilkan persembahan lagu atau instrumental daripada pemuzik seluruh rantau Asia. Negara-negara yang menjadi ahli penuh atau tambahan ABU dijemput untuk menghantar penyertaan dan mempersembahkan karya mereka secara langsung di hadapan penonton. Acara ini juga dirakam bagi membolehkan penyiar kebangsaan menambah sari kata dalam bahasa masing-masing untuk siaran domestik.