Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, memohon maaf atas empat pertuduhan yang berkaitan dengan membenarkan dan memandu kereta dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans pada Januari lalu.
Berikutan kejadian tersebut, Nabila, 31, atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, bersama ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, telah didenda sebanyak RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, hari ini.
Nabila, yang juga penyanyi lagu popular “Tangis”, tidak mahu memanjangkan isu ini dan memohon orang ramai untuk tidak mensensasikan perkara tersebut.
“Sebenarnya, kereta itu adalah hadiah saya untuk ibu dan masih didaftarkan atas nama saya. Oleh itu, apabila terdapat kesalahan lalu lintas yang melibatkan kenderaan tersebut, saya sebagai pemilik turut terlibat sama,” jelasnya.
“Saya akui bahawa pada hari kejadian, kereta itu dipandu oleh ibu saya. Perkara ini telah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku bersalah sebagai Orang Kena Saman (OKS),” tambahnya.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan sahaja buat saya dan ibu, tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini, saya memohon maaf,” katanya.
Menurut pertuduhan, Nabila sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan tersebut dengan LKM yang telah tamat tempoh pada 29 September lalu dan tanpa polisi insurans untuk pihak ketiga.