Misi Ejen Ali Kini Di Singapura!

Kuala Lumpur, 4 Jun 2025 – Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini bersedia memulakan tayangan di pawagam seluruh Singapura bermula 5 Jun 2025, bersempena musim cuti sekolah. Setelah mencatat kutipan lebih RM34.2 juta dalam 11 hari tayangan di Malaysia dan Brunei, filem animasi ini telah memecahkan rekod filem pertamanya serta mencetuskan fenomena luar biasa. Kejayaan ini turut disertai dengan sambutan hebat di pawagam dan permintaan tinggi terhadap barangan rasmi Ejen Ali.

Dihasilkan oleh WAU Animation dan Primeworks Studios, serta diedarkan bersama Clover Films dengan sokongan MDEC dan Komet Productions, EATM2 kini ditayangkan di lebih 161 pawagam di Malaysia dan Brunei sejak 22 Mei lalu. Penonton Singapura boleh menonton filem ini di pawagam terpilih seperti Golden Village Bedok, Tampines, Yishun, Plaza, serta Cathay Causeway Point, Downtown East, Century Square dan Clementi 321.

Filem ini mengisahkan Ali, seorang budak lelaki biasa yang direkrut oleh agensi perisikan rahsia MATA dan dipilih menyertai program elit SATRIA. Dibantu oleh sut berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI), Ali terlibat dalam misi berisiko tinggi yang menjadi lebih rumit apabila Neonimus, penggodam misteri, kembali mengancam Cyberaya. Rizwan pula memerlukan bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman tersebut.

Dengan visual memukau, bunyi mantap dan animasi berkualiti tinggi, EATM2 dipuji peminat dan pengkritik kerana setanding dengan animasi antarabangsa serta sesuai ditonton seisi keluarga. Pihak produksi mengucapkan terima kasih atas sokongan luar biasa dan berharap semua dapat menikmati tayangan ini dengan penuh keterujaan tanpa spoiler!

Satria, Bangkit, Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Gunakan tanda pagar rasmi #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY untuk kongsikan pengalaman anda menonton filem ini di media sosial. – Tehtariktimes