Merdeka 118: Menetapkan Standard Baharu dalam Kecemerlangan Keselamatan Kebakaran dan Nyawa Global

Sebagai mercu tanda ikonik di persada tempatan dan global, Menara Merdeka 118 terus memacu inovasi keselamatan bangunan di Malaysia. Terbaru, menara ini secara rasmi menerima Sijil Perakuan Bomba (FC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Pengiktirafan ini mengesahkan bahawa Merdeka 118 telah melepasi kriteria keselamatan kebakaran yang ketat serta mematuhi piawaian perundangan Malaysia sepenuhnya. Pensijilan ini membuktikan keteguhan rangka kerja keselamatan nyawa yang dilaksanakan bagi memastikan setiap sistem, infrastruktur, dan tahap kesiapsiagaan operasi berada pada standard tertinggi yang diperlukan untuk bangunan berketinggian luar biasa ini.

Memperkukuh komitmen terhadap penambahbaikan yang berterusan, Menara Merdeka 118 turut mengintegrasikan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) yang serba baharu. Teknologi ini meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan melalui pemantauan masa nyata (real-time) serta penyelarasan yang lebih cekap bersama pihak JBPM—elemen kritikal dalam pengurusan keselamatan bangunan pencakar langit yang menuntut tahap kesiapsiagaan pantas.

Sewaktu majlis penyerahan Sijil Perakuan Bomba, Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hj. Hassan ‘As’ari bin Hj. Omar, Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyatakan: “Jabatan Bomba Metropolitan bersama Malaysia Supertall Secretariat (MSS) memainkan peranan utama dalam memastikan pematuhan piawaian keselamatan bagi pembangunan bangunan super tinggi. Bagi projek berskala sebegini, standard dunia hanya dapat dikekalkan melalui komitmen tinggi terhadap penyelenggaraan sistem dan pematuhan prosedur. Pelaksanaan SPKA jelas memperkukuh koordinasi semasa kecemasan.”

Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd turut menambah: “Penerimaan Sijil Perakuan Bomba ini adalah pencapaian signifikan yang mengesahkan tahap keselamatan nyawa di menara ini. Sebagai pembangunan mercu tanda, tanggungjawab kami melampaui sekadar pematuhan; ia adalah tentang menyerapkan aspek keselamatan dalam setiap inci reka bentuk dan operasi. Dengan SPKA, kami menyediakan jaminan tambahan melalui pemantauan yang lebih cekap. Paling utama, ia memberi keyakinan kepada penyewa dan pengunjung bahawa mereka berada dalam persekitaran bertaraf dunia yang diurus dan dilindungi dengan rapi.”

Menara Merdeka 118 juga menjadi antara pembangunan utama yang disokong oleh Malaysia Supertall Secretariat (MSS), sebuah organisasi keselamatan kebakaran perintis di Asia untuk bangunan melebihi 300 meter. MSS berfungsi sebagai jambatan strategik antara pemilik bangunan dan JBPM dalam memperkasakan pengurusan kecemasan. Pencapaian ini menambah lagi portfolio kecemerlangan Merdeka 118 yang sebelum ini menjadi bangunan pertama di Malaysia menerima pengiktirafan MD Nexus bagi ekosistem digital bernilai tinggi.

Selain aspek keselamatan, Menara Merdeka 118 telah pun meraih pensijilan LEED Platinum, pengiktirafan triple platinum di bawah GreenRE dan Green Building Index, serta Pensijilan WELL Core Platinum—tahap tertinggi dalam standard bangunan global. Dengan gabungan piawaian pejabat Gred A, kelestarian, dan keselamatan operasi yang terulung, Merdeka 118 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi perniagaan dan gaya hidup premium di tengah-tengah Kuala Lumpur.