MAJLIS PENYEMPURNAAN PROGRAM F3M DAN PROGRAM JELAJAH MIKRO DAN FRANCAIS MAMPU MIKRO WILAYAH PERSEKUTUAN ZON TENGAH PUTRAJAYA

PUTRAJAYA, 12 Oktober 2022 – Program Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik Zon Tengah Wilayah Persekutuan Putrajaya telah dijalankan di Hotel Marriot Putrajaya di Putrajaya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA). Program ini merupakan set lawatan terakhir yang dijalankan pada 2022, merangkumi 12 tempat di seluruh negara, dengan matlamat untuk mendidik masyarakat tentang kemungkinan dan peluang perusahaan francais berskala mikro dan murah.

Program ini adalah salah satu komponen yang digerakkan di bawah inisiatif Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik (F3M) KPDNHEP dalam usaha membangunkan industri francais berskala mikro dan menarik penglibatan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 untuk menceburi bidang perniagaan francais. Aktiviti seperti sesi business pitching dan pemadanan, sesi konsultasi, sesi ceramah dan pameran oleh syarikat-syarikat francais yang menawarkan pakej permulaan perniagaan pada skala mikro dan mampu milik termasuk bantuan kewangan atau pembiayaan yang ditawarkan oleh Kerajaan semua ini merupakan antara pengisian utama program bagi mendedahkan masyarakat mengenai potensi perniagaan francais berskala mikro dan mampu milik yang wajar diterokai kerana mampu menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara. Sebanyak dua belas (12) siri jelajah F3M telah dianjurkan sepanjang tahun ini dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara.

Pada program ini, KPDNHEP turut menyampaikan Geran Penuh Program F3M kepada 11 francaisor dan bakal francaisor yang telah dinilai termasuk memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian dan MFA. Inisiatif Geran Penuh juga merupakan inisiatif di bawah Program F3M yang mensasarkan pihak francaisor untuk membangunkan pakej permulaan perniagaan francais mampu milik bernilai RM100 ribu ke bawah serta pakej permulaan perniagaan francais mikro bernilai RM50 ribu ke bawah. Penyampaian geran ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof yang turut merasmikan Majlis Penyempurnaan Program F3M. Di bawah Program F3M yang diperkenalkan sejak tahun 2021, sebanyak 19 francaisor telah menerima manfaat daripada pemberian Geran Penuh manakala seramai 33 francaisi telah dilahirkan melalui inisiatif pemberian Geran Padanan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku peneraju sektor perdagangan pengedaran di peringkat nasional sentiasa memberi penekanan kepada usaha memperluaskan pembabitan rakyat dalam arus pembangunan ekonomi. Sebagai pihak yang mengawal selia industri francais negara, KPDNHEP telah melaksanakan program-program pembangunan dalam negara bagi mempromosikan francais kepada rakyat termasuk perlaksanaan Program F3M ini. Program ini adalah salah satu program utama dalam usaha menarik penglibatan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 untuk menceburi bidang perniagaan francais.

Sementara itu, Pengerusi MFA Datuk Dr. Radzali Hassan amat berbesar hati kepada KPDNHEP di atas kepercayaan yang diberikan bagi melaksanakan Program F3M seterusnya berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan terutamanya dalam membantu golongan B40 dan M40 meningkatkan taraf hidup mereka. MFA juga sentiasa komited dan berusaha memantapkan mekanisme pelaksanaan bagi Program F3M agar konsep perniagaan francais dapat dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat dan akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan sama ada sebagai pemilik francais atau pekerja kepada syarikat francais selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan memulihkan sektor ekonomi akibat Pandemik Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *