Paling gempak dan luar biasa! Karnival Jom Heboh Mana Lagi? Melaka Ler… yang berlangsung di MITC Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat hingga Ahad (28 -30 Jun) lalu telah dihujani lebih 300,000 pengunjung. Karnival yang paling dinanti yang diraikan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) ini bukan sahaja dibanjiri oleh warga kota Melaka sahaja, malahan warga selatan yang lain!
Selama tiga hari, Karnival Jom Heboh (KJH) ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik yang memikat hati pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Dari aktiviti direruai Studio Tonton Drama Sangat, gerai makanan yang menyajikan hidangan tempatan yang lazat hingga ke permainan dan hiburan yang menyeronokkan, setiap sudut MITC Ayer Keroh dipenuhi dengan kegembiraan dan keriangan.
Pada Sabtu (29 Jun) yang lepas, KJH dengan bangga dan berbesar hati mengumumkan perasmian oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf, Ketua Menteri Melaka. YAB turut mengendalikan sesi cabutan bertuah sempena TMM 2024 di Pentas Utama KJH. Kemeriahan berterusan dengan kunjungan daripada Yang Berhormat Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya yang diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima OMNIA, Datuk Efendi Omar.
Antara tarikan utama karnival kali ini termasuklah Reruai Studio Tonton Drama Sangat yang menjadi tempat tumpuan ramai menerusi Pertandingan Ratu Kebaya Drama Sangat yang terbuka kepada kanak-kanak berusia 7 tahun keatas. Penganjuran ini bertujuan untuk mengangkat seni kebaya yang sinonim dengan masyarakat peranakan iaitu Baba dan Nyonya, Chetti dan Portugis di negeri itu tanpa mengenal usia. Pertandingan Ratu Kebaya Drama Sangat ini dijuarai oleh adik Syazwina Mohd Talib dan sekaligus berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM300! Naib juara pula digalas oleh adik Qalesya Qhumaira yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh adik Puteri Daniella Diana Ayu yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM150.
Kemunculan selebriti popular tanah air di Studio Tonton Drama Sangat selama tiga hari berturut-turut ini juga memberi peluang kepada pengunjung beramah mesra bersama selebriti yang menghiasi slot drama di TV3, TV9 dan Tonton seperti Afieq Shazwan (Saka Perawan), Dr Ahmad Idham (Saka Perawan), Yassin Senario (Saka Perawan), Bella Astillah (Tonton: Leha Leya Lawa), Muaz Zabir (Tonton: Leha Leya Lawa), Shaza Bae (Akasia: Aku Bukan Ustazah), Husna Mustaffa (Akasia: Aku Bukan Ustazah), Fasha Sandha (Samarinda: Khilaf Yang Tertulis), Ashraf Muslim (Samarinda: Khilaf Yang Tertulis) dan ramai lagi.
Acara kemuncak Karnival Jom Heboh Mana Lagi? Melaka Ler… iaitu Konsert Jom Heboh pula berjaya mengumpulkan dan menghiburkan ribuan pengunjung dengan persembahan-persembahan yang memukau! Dihoskan oleh Muaz Mohamed & Aisha Mazlin pada malam pertama (Sabtu, 29 Jun) dan Amirulhakim Lokman & Aisha Mazlin (Ahad, 30 Jun), Konsert Jom Heboh telah menampilkan persembahan mantap daripada penyanyi popular tanah air seperti Naqiu, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Puteri Khareeza, Zamani Slam, Drama Band, Rahmad Mega, Hael Husaini, Shiha Zikir, Ruffedge, Baby Shima dan Ara Johari. Pengunjung turut teruja dengan suasana meriah dan melihat persembahan artis kegemaran mereka.
Dengan kejayaan yang dicapai, Karnival Jom Heboh di Melaka membuktikan bahawa ia bukan sekadar acara biasa tetapi satu perayaan yang menyatukan rakyat Malaysia.
Dalam usaha menghibur, kami turut sensitif dan mengambil berat susulan krisis kemanusiaan yang berlaku di dunia Palestin. Kami di TV3 sentiasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan dan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin. Anda boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331. Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima akan digunakan untuk membiayai bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas.
Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan dan keadilan. Melalui pelbagai program dan inisiatif kami, TV3 dan Tonton bertekad untuk menyebarkan mesej keamanan dan solidariti, sambil menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam usaha murni ini.
Siri jelajah Karnival Jom Heboh 2024 akan mengembara ke seluruh negara, membawa kegembiraan dan hiburan kepada semua. Nantikan lokasi seterusnya, yang akan menggegarkan negeri di Pantai Timur! Layari laman sesawang www.jomheboh.com.my dan ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial untuk ketahui informasi terkini. Sebarkan keseronokan anda sekeluarga dengan menggunakan tanda pagar #TV3SentiasaBersamamu #KarnivalJomHeboh #InspirasiGenerasi.