Kumpulan muzik baharu, LEV, secara rasmi melancarkan single pertama mereka berjudul “Aku Bukan Bosan”, yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Pelancaran ini menjadi penanda aras kepada kemunculan rasmi LEV dalam industri muzik tempatan selepas penubuhan mereka pada 13 Mei 2022.
LEV dianggotai oleh tiga anak muda berbakat iaitu Leo Azman selaku vokalis, komposer dan penulis lirik, Riz sebagai pemain gitar dan Kecik yang memainkan bass. Mereka kini bernaung di bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengurusan yang turut menaungi kumpulan terkenal MASDO.
Lagu “Aku Bukan Bosan” merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Leo Azman, manakala tugas penerbitan, adunan dan mastering disempurnakan oleh Andi, ahli kumpulan Fourtwnty dari Indonesia. Proses rakaman dijalankan di Bijanfx Studio dan melalui lima draf berbeza dalam tempoh dua minggu sebelum versi akhir dimuktamadkan.
Mengangkat tema pengorbanan dan cabaran hubungan jarak jauh, lagu ini menyentuh dilema seorang lelaki yang berjauhan daripada keluarga demi mencari rezeki. Ia turut mengetengahkan konflik kepercayaan dan salah faham akibat kekangan masa dan komunikasi. Menurut Andi, lagu ini membawa suara golongan yang jarang diberi perhatian dalam muzik arus perdana.
Sebelum pelancaran rasmi, LEV terlebih dahulu mempersembahkan lagu ini di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerusi Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun. Persembahan ini menjadi platform penting untuk memperkenalkan muzik LEV kepada khalayak lebih luas.
Pelancaran single ini membuka lembaran baharu buat LEV sebagai kumpulan pendatang baharu yang membawa karya realistik dan bersahaja. Dengan pendekatan muzik yang jujur dan lirik yang berpaksikan pengalaman sebenar, LEV dilihat mempunyai potensi besar untuk mencorakkan warna baharu dalam muzik tempatan. – Tehtariktimes